Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Mayat lelaki warga asing yang dibaham buaya di kawasan Sungai Damuan, Jalan Mulaut, Kampung Bebatik telah pun ditemui pada petang tadi.
Mayat mangsa telah diserahkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian pada jam 5:14 petang kelmarin, anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengerahkan anggotanya bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) untuk menjalankan siasatan dan pencarian setelah warga asing itu disambar buaya.
Difahamkan, insiden berkenaan turut sempat dirakam dan dikongsikan di aplikasi WhatsApp, di mana video berdurasi 18 saat itu menunjukkan mangsa masih diheret dan terapung di sekitar kawasan sungai.
Di kesempatan ini, PPDB ingin mengingatkan orang awam agar sentiasa mengambil langkah-langkah berwaspada terutamanya semasa melakukan sebarang aktiviti memancing di kawasan-kawasan perairan atau sungai bagi mengelak perkara yang tidak diingini.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P1-A_27042023-1.jpg)