Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Warga KKBS, Kem. Pengangkutan dan Infokomunikasi terima pingat

    Oleh Yusrin Junaidi dan Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Seramai 231 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah menerima pingat-pingat kehormatan sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah, Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara, Daerah Temburong, hari ini.

    Penyampaian pingat-pingat kehormatan berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Pada majlis itu, seramai 119 orang penerima menerima Pingat Indah Kerja Baik (PIKB) dan 143 menerima Pingat Kerja Lama (PKL).

    Salah seorang penerima pingat yang ditemui Media Permata, Dayang Suruya binti Chuchu, 49, melahirkan rasa amat bersyukur kepada Allah SWT dan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pengurniaan PIKB dan PKL kepada beliau.

    Beliau berharap akan dapat meneruskan dan memberikan khidmat terbaik di KKBS demi mutu kerjaya dengan amanah.

    Sementara itu, kelmarin, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi juga mengadakan Majlis Penyampaian Pengurniaan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam untuk seramai 137 penerima.

    Hadir pada majlis yang diadakan di Dewan Bankuet, Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat itu ialah mantan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

    Pada majlis itu, seramai 68 orang penerima PIKB dan 69 menerima PKL daripada kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.

    Pengurniaan pingat-pingat berkenaan adalah sebagai pengiktirafan dan penghargaan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada pegawai-pegawai dan kakitangan atas jasa dan sumbangan kerja yang telah diberikan sepanjang perkhidmatan.

    ATAS & BAWAH: Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib menyampaikan Pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam kepada para penerima pada majlis yang diadakan di Dewan Bankuet, Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat.

    Dayang Suruya bergambar bersama pingat PIKB dan PKL pada majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah, Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara, Daerah Temburong, kelmarin.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...