Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Platform media sosial ternyata menjadi saluran terbaik untuk mendekati masyarakat dalam memberikan bantuan atau sokongan yang diperlukan apabila lebih $15,000 berjaya dikumpulkan bagi membantu membayar bil rawatan seorang warga Malaysia yang dihempap pokok.
Jumlah berkenaan melebihi sasaran $5,000 yang diperlukan oleh Tan Meng Huat untuk membantu membiayai kos perubatan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) setelah dihempap pokok tumbang di Taman Rekreasi Tasek Lama, baru-baru ini.
Kempen pengumpulan dana melalui media sosial berkenaan dijalankan oleh Persatuan Warga Malaysia (PWM) susulan rayuan yang dibuat oleh keluarga Tan Meng Huat.
Sumbangan yang datang bukan sahaja daripada rakan-rakan Malaysia yang tinggal dan bekerja di Brunei Darussalam malahan juga daripada masyarakat tempatan.
Jumlah yang dikutip telah diserahkan kepada pasangan Tan Meng Huat di katil hospitalnya, hari ini, yang disampaikan oleh James Chin bagi pihak presiden PWM dan disaksikan oleh ahli eksekutif PWM serta wakil Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Ridhuan.

Inisiatif sedemikian juga merupakan satu lagi bukti terhadap kepekaan dan keprihatinan masyarakat di sini dalam memberikan bantuan kepada keperluan mereka yang memerlukan terutama dalam kes seperti ini.
Tan Meng Huat yang berusia 55 tahun, telah dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi, Hospital RIPAS selepas keadaan kesihatannya susulan pembedahan menunjukkan pemulihan dan dimasukkan ke wad 6 lelaki.
Insiden malang berlaku ketika Tan sedang mendaki di taman rekreasi yang popular itu apabila pokok tumbang dan menimpa beliau menyebabkan tiga tulang rusuknya patah dan mengalami kecederaan belakang, paru-paru dan buah pinggang.
Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PWM atas inisiatif mereka dan kepada penderma yang telah menyumbang dana.
Berikutan kejadian itu juga, beberapa orang awam membangkitkan rasa kebimbangan mengenai keadaan sebahagian pokok dan tempat-tempat di taman tersebut yang mungkin mengundang bahaya dan menyeru agensi-agensi berkaitan untuk meneliti perkara berkenaan bagi mengelak kejadian sama atau yang lebih teruk pada masa akan datang.