Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Wariskan harta AS$2.8j kepada haiwan peliharaan

    CHINA, 12 FEB – Seorang wanita warga emas di China telah memutuskan untuk mewariskan hartanya bernilai AS$2.8 juta kepada kucing dan anjing peliharaannya, kerana mendakwa haiwan peliharaannya itu sentiasa berada di sisinya, tidak seperti tiga orang anaknya.

    Wanita tersebut, sebelumnya membuat wasiat beberapa tahun lalu, membahagikan hartanya kepada tiga orang anaknya, tetapi baru-baru ini dia mengubah wasiat itu selepas dia merasa diabaikan.

    Menurut laporan Oddity Central, dia mendakwa anak-anaknya tidak pernah melawatnya atau sekurang-kurangnya mengatur penjagaannya ketika dia sakit, dan mereka jarang menghubunginya. Jadi dia memutuskan untuk menyerahkan semua asetnya kepada haiwan peliharaan yang sentiasa berada di sisinya.

    Wanita dari Shanghai itu berharap harta yang ditinggalkannya itu akan digunakan untuk menjaga haiwan peliharaan selepas dia meninggal dunia.

    Walau bagaimanapun, wasiat wanita yang hanya dikenali dengan nama keluarga Liu itu tidak dibenarkan kerana undang-undang di China melarang untuk mewariskan harta secara terus kepada haiwan peliharaan.

    Namun, selepas berunding dengan peguamnya, Liu menemui jalan iaitu dia melantik sebuah klinik haiwan sebagai pentadbir hartanya dan mengamanahkan klinik itu untuk menjaga kucing dan anjing tersebut selepas dia meninggal dunia.

    Kisah wanita itu telah menyentuh jutaan jiwa di China, yang kebanyakan mereka bersimpati dengan keadaannya. Menjaga ibu bapa ketika tua adalah perkara yang dititikberatkan di kebanyakan negara di Asia dan anak-anak yang mengabaikan orang tua mereka boleh dikenakan hukuman menurut undang-undang.

    “Syabas. Sekiranya saya diabaikan oleh anak perempuan saya suatu hari nanti, saya juga akan menyerahkan rumah saya kepada orang lain,” tulis seorang pengguna di aplikasi Sina Weibo, versi X di China. – Agensi

    Seorang wanita warga emas di China telah memutuskan untuk mewariskan hartanya bernilai AS$2.8 juta kepada kucing dan anjing peliharaannya. – Xinhua
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...