Wednesday, December 25, 2024
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada dengan penyamaran sebagai polis, bank

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengeluarkan amaran dan makluman penting kepada orang ramai mengenai beberapa kes penipuan yang melibatkan penyamaran sebagai pegawai bank dan polis.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh PPDB, di sini, menyatakan bahawa modus operandi penjenayah berkenaan bermula dengan panggilan telefon yang mendakwa terdapat transaksi mencurigakan dalam akaun bank mangsa.

    Panggilan itu kemudiannya dipindahkan kepada individu yang mengaku sebagai pegawai polis, yang seterusnya meminta maklumat peribadi mangsa termasuk butiran perbelanjaan dan penggunaan kad.

    Penjenayah kemudiannya akan menakut-nakutkan mangsa dengan dakwaan penglibatan mangsa dalam kegiatan jenayah dan nama mangsa tersenarai dalam waran tangkap. Mangsa kemudian diarahkan untuk tidak memberitahu sesiapa mengenai perkara itu dan diminta untuk berkomunikasi melalui aplikasi Telegram.

    BSJS menasihatkan orang ramai untuk tidak sekali-kali mengongsi maklumat peribadi, gambar atau butiran akaun bank dengan sesiapa melalui telefon atau aplikasi sosial media kepada orang yang tidak dikenali.

    Sekiranya menerima panggilan mencurigakan yang menggunakan taktik sebegitu, mereka disarankan untuk melaporkannya dengan segera kepada balai polis yang berhampiran.

    Orang ramai juga diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan melindungi maklumat peribadi mereka.

    PPDB komited dalam usaha membanteras penipuan berkenaan, termasuk Skim Phishing Scam dan Macau Scam. Kerjasama orang ramai amat dihargai dalam meningkatkan kesedaran mengenai taktik penipuan berkenaan di kalangan keluarga dan rakan-rakan. Kesedaran dan kewaspadaan bersama adalah kunci untuk mencegah jenayah sebegitu daripada terus berleluasa.

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda