Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada, keadaan cuaca kekal aktif

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 DIS – Stesen Pencerapan Cuaca, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), semalam, telah merekodkan turunan hujan berjumlah 50.3mm.

    Manakala, kelajuan angin maksimum yang direkodkan adalah sekitar 32kmsj pada pukul 1:45 petang.

    BDMD dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, Negara Brunei Darussalam sekarang berada dalam fasa pertama monsun timur laut, di mana pada lazimnya keadaan cuaca tidak menentu, dengan hujan atau hujan berpetir, sekali-sekala lebat dijangka berlaku terutama pada waktu malam hingga awal pagi.

    Negara juga mengalami keadaan cuaca aktif yang dipengaruhi oleh luruan angin timur laut dan pembentukan sistem tekanan rendah di kawasan rantau ini, bermula Rabu lalu.

    Keadaan itu telah menyebabkan atmosfera tidak stabil dan lembap hingga menggalakkan pembentukan awan-awan hujan yang aktif.

    Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. – Gambar fail

    Di samping itu, pengaruh sistem tekanan rendah juga telah menyebabkan keadaan berangin dan sekali-sekala kencang terutama semasa hujan melintasi kawasan negara kita.

    Mengikut model ramalan cuaca berangka yang terkini, keadaan cuaca negara masih diramalkan aktif sehingga 27 Disember dengan hujan sekali sekala lebat dan berpetir, masih dijangka berlaku dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50kmsj semasa atau dekat hujan lebat.

    Manakala itu, di perairan Brunei, keadaan laut masih berombak di paras sederhana ke bergelora, di paras 1 hingga 3 meter.

    Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.

    Kejadian pokok tumbang dan tanah susur boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin. Terdapat juga risiko tinggi berlakunya banjir dan banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat dan kejadian air pasang.

    Keadaan laut yang bergelora juga berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil dan semua aktiviti rekreasi dan sukan laut.

    Orang ramai termasuk pemandu di jalan raya dan pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD selain membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan.

    Jabatan berkenaan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Maklumat dan nasihat serta amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi Brunei WX, di mana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, melayari laman sesawang (www.met.gov.bn) atau melalui laman Facebook dan Instagram, @brunei.weather.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda