Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Waspada keadaan cuaca semasa, risiko banjir kilat

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Berpandukan kepada Model Ramalan Cuaca Berangka yang terkini, cuaca tidak menentu di Negara Brunei Darussalam secara keseluruhannya akan berterusan sehingga awal pagi 28 November.

    Hujan lebat dan petir sekali-sekala dijangka berlaku terutama pada sebelah petang dan malam serta boleh berlarutan sehingga subuh. Walau bagaimanapun, intensiti turunan hujan adalah tidak sama dari satu kawasan ke satu kawasan di negara ini dan juga dari hari ke hari.

    Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45kmsj. Di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sederhana iaitu antara 1 ke 1.5 meter.

    Menurut Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMC), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, yang mengeluarkan maklumat keadaan cuaca berkenaan, negara pada masa ini berada di penghujung tempoh peralihan monsun di mana sepanjang tempoh berkenaan, kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian.

    Sejak awal November hingga 24 November, Stesen Pencerapan Kajicuaca, BDMC di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah merekodkan turunan hujan sebanyak 251.6mm.

    Gambar Unsplash

    Jumlah turunan hujan berkenaan telah mencapai 78 peratus jumlah turunan hujan normal bagi November 1991-2020 iaitu 322.9mm.

    Berdasarkan maklumat data daripada Stesen Pemantauan Radar Cuaca Doppler Brunei Darussalam, curahan hujan lebat pada 24 November bertumpu di empat daerah dan telah menyebabkan kejadian banjir serta banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir.

    Pada masa yang sama, pertembungan kejadian air pasang telah menyebabkan situasi banjir berlaku di kawasan-kawasan berhampiran tebing sungai.

    Anggaran jumlah turunan hujan yang telah direkodkan bagi keempat-empat daerah pada 24 November lalu adalah 27.6mm bagi Daerah Brunei dan Muara, manakala Daerah Temburong sebanyak 51.5mm, Daerah Tutong 55.1mm dan Daerah Belait 31.7mm.

    BDMC menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku dengan terdapat risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Di samping itu, risiko pokok tumbang dan kejadian tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin dengan keadaan laut adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil, aktiviti rekreasi serta sukan laut.

    Dalam hubungan itu, orang ramai termasuk pemandu di jalan raya dan pelaut, dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMC.

    Jabatan berkenaan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...