Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT- Kes influenza-like illness (ILI) masih di tahap tinggi di negara ini sejak beberapa minggu yang lalu dan langkah-langkah berwaspada terhadapnya perlu diamalkan oleh orang ramai terutamanya mereka yang menunjukkan tanda-tanda jangkitan.
Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media Normal Baharu COVID-19 Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini mengingatkan orang ramai agar mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan pengawalan bagi jangkitan respiratori khususnya bagi mereka yang mempunyai simptom.
“Langkah-langkah tersebut termasuklah mengasingkan diri daripada orang lain sepanjang tempoh mengalami simptom, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman, iaitu langkah-langkah yang serupa bagi mengawal jangkitan COVID-19,” jelas Yang Berhormat Dato.
Yang Berhormat Dato juga menasihatkan kepada orang ramai, khususnya kanak-kanak berumur di bawah lima tahun, mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan mereka yang menghidap penyakit kronik seperti penyakit kardiovaskular, kencing manis dan sebagainya, untuk mendapatkan vaksinasi influenza sekali pada setiap tahun.
“Kerjasama orang ramai adalah juga terus diharapkan untuk memuat naikkan keputusan ART masing-masing, sama ada positif atau negatif ke aplikasi BruHealth,” katanya.
Sementara itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menyentuh mengenai cirit-birit (gastroenteritis) di mana pemantauan epidemiologi di Negara Brunei Darussalam menunjukkan bahawa trend bagi cirit-birit telah mula menunjukkan pengurangan.
“Dalam hal ini, orang ramai adalah diingatkan untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada terutamanya memastikan makanan dan minuman yang diambil dimasak dengan sempurna dan adalah bersih serta selamat untuk dimakan,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Beliau menyarankan kepada sesiapa yang mengalami cirit-birit, mual dan muntah-muntah yang berterusan untuk mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.


