Tuesday, November 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wau hiasan jadi sumber rezeki

    KOTA BAHARU – Biarpun memiliki kelulusan dalam bidang kejuruteraan, Ahmad Kalimolleh Abdul Hadi tidak kisah memilih kerjaya yang memerlukan beliau berdepan dengan habuk buluh setiap hari.

    Malah keputusan pembuat wau berusia 60 tahun untuk menukar kerjaya daripada bidang pembinaan kepada seni kraf nyata berbaloi apabila ia menjadi sumber pendapatan tetapnya sejak 25 tahun lepas.

    Pemegang Diploma Kejuruteraan Awam Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam (kini UiTM) itu berkata selepas menamatkan pengajian, beliau sempat bekerja di sebuah syarikat pembinaan yang terlibat dengan projek di beberapa lokasi di Kelantan dan Terengganu.

    “Namun selepas beberapa tahun bekerja, minat saya bertukar kepada menghasilkan wau yang sinonim dengan masyarakat Kelantan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

    “Nak tukar kerjaya tidak begitu sukar kerana saya pernah belajar membuat wau daripada beberapa orang guru, malah bakat melukis yang ada dalam diri memudahkan untuk adaptasi kerjaya baharu ketika itu,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

    Ahmad Kalimolleh Abdul Hadi melakukan proses reka bentuk wau bermotif Jalur Gemilang pada tinjauan di bengkelnya baru-baru ini. – Gambar Bernama
    Ahmad Kalimolleh Abdul Hadi menyusun atur wau di bengkelnya. – Gambar Bernama
    Meraut buluh untuk dijadikan rangka wau. – Gambar Bernama

    Keputusan nekad Ahmad Kalimolleh itu nyata berbaloi apabila beliau kini menjadi antara pilihan peminat wau untuk membuat tempahan, malah tempahan yang diterima semakin meningkat apabila memasuki sambutan bulan kebangsaan.

    Beroperasi hampir setiap hari di bengkel miliknya di Jalan Tok Semian di tengah bandar Kota Bharu, Ahmad Kalimolleh memberi fokus kepada penghasilan wau untuk hiasan, namun tidak menolak sekiranya menerima tempahan wau yang digunakan untuk permainan.

    “Untuk membuat wau bahan yang diperlukan antaranya ialah buluh, gam, tali serta kertas, kain atau plastik (bergantung permintaan pelanggan. Saya mampu menghasilkan empat buah wau dalam tempoh dua hari bergantung kepada saiz dan corak yang diminta,” katanya.

    Menurutnya antara tempahan yang sering diterima ialah wau bulan, wau puyuh, wau kucing dan wau jala budi.

    “Wau paling kecil pernah dihasilkan berukuran enam inci manakala paling besar 7.6 meter (25 kaki).

    “Harga wau bergantung kepada corak yang diminta pelanggan, makin sukar motif semakin mahal harganya, harga jualan paling murah sekitar RM80 dan paling mahal RM10,000,” katanya yang memperoleh pendapatan lebih RM2,000 sebulan.

    Saban tahun menjelang sambutan Bulan Kebangsaan, Ahmad Kalimolleh pasti akan sibuk menyiapkan tempahan pelanggan khususnya membabitkan wau dengan motif Jalur Gemilang.

    “Biasanya tempahan yang diterima membabitkan program kanak-kanak di tadika. Saya akan menghasilkan wau bulan warna putih tanpa corak.

    “Kanak-kanak terbabit akan menghias sendiri wau tersebut dengan warna Jalur Gemilang,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda