Saturday, September 14, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wawa percaya kuasa sabar

    Wawa Zainal, satu nama yang tidak asing bagi peminat seni Malaysia, namun peralihan kerjaya daripada pelakon kepada usahawan membawa perubahan yang cukup besar bagi anak jati Sabah itu.

    Menurut Sinarplus, wanita penuh pesona itu mencipta fenomena sebagai anak seni yang mengukir kejayaan tersendiri dalam dunia perniagaan sekali gus menjadi inspirasi kepada kaum wanita.

    Daripada ‘zero‘ pengetahuan dalam bidang bisnes, akhirnya beliau kini boleh tersenyum bangga dengan tertubuhnya empayar Wawa Cosmetics pada 2018.

    Bermula dengan jualan Wawa Soft Lens, kemudiannya beralih kepada produk kosmetik, sambutan hangat menjulang adrenalina wanita hebat itu untuk terus berusaha gigih.

    Ternyata percaturan ibu kepada empat cahaya mata, Ahmad Fakhruddin Attar, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, Ayya Soffya dan Muhammad Fahri beralih bidang, satu keputusan yang tepat.

    Satu persatu kejayaan dikutip pemilik nama sebenar Nur Hawa Zainal Abidin.

    “Saya tidak pernah membayangkan bakal meraih segala impian yang sebelum ini hanya sekadar angan-angan.

    “Memiliki kediaman sendiri, kereta idaman, meraih jualan jutaan ringgit dan paling membanggakan apabila dapat membantu wanita lain untuk mengubah nasib mereka,” ungkap isteri kesayangan Aeril Zafril itu.

    Mengakui liku-liku perjalanan yang perlu direntas tidak semudah mata kasar.

    “Jatuh bangun banyak kali, kena tipu beratus ribu apabila produk ‘tak jalan‘ itu perkara biasa.

    “Itulah yang menguatkan diri saya sehingga kini. Sebab itu, untuk sesiapa sahaja terutama kaum Hawa, kena percaya dengan proses, sabar dan pasti ada ganjarannya,” ulasnya. – Sinarplus

    Wawa menubuhkan empayar Wawa Cosmetics pada 2018. – Sinarplus

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda