Wednesday, February 12, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wawasan 2035 jana ekonomi produktif

    Oleh Rabi’atul Nazurah Hidup

     

    WAWASAN merupakan visi atau gagasan yang dijadikan sebagai sandaran dan garis pandu untuk mencapai matlamat tertentu bagi menjulang kejayaan yang dikehendaki dengan mengenal pasti objektif dan permasalahan awal serta strategi untuk mencapainya.

    Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan mempunyai gagasan bagi kesenangan rakyatnya yang dinamakan sebagai Wawasan 2035. Ia merupakan rancangan kemajuan Brunei yang dilaksanakan secara berperingkat, bermula pada tahun 2007 yang kini memasuki tahap kedua pelaksanaannya, di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-10 (RKN10) bertemakan ‘Pengetahuan dan Inovasi, Meningkatkan Produktiviti, Mempercepatkan Pertumbuhan Ekonomi.’

    RKN10 ini berjalan dalam masa lima tahun bermula pada tahun 2012 dan berakhir pada tahun 2017, sesuai dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Brunei Darussalam sebuah negara yang mempunyai rakyat berpendidikan tinggi, berkemahiran dan berjaya, standard kehidupan tinggi dan mempunyai ekonomi yang dinamik serta mapan bagi merealisasikan negara untuk berada dalam kedudukan 10 negara teratas dari segi pendapatan per kapita.

    Untuk mencapainya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah mengurniakan peruntukan sebanyak $6.5 bilion untuk melaksanakan RKN10.

    Strategi yang diterapkan

    Dalam menuju matlamat Wawasan 2035, lapan strategi telah dikenal pasti untuk memastikan semua aspek pembangunan dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan. Lapan strategi tersebut adalah pendidikan, ekonomi, keselamatan, pembangunan, keusahawanan dan perniagaan tempatan, pembangunan infrastruktur, keselamatan sosial dan alam sekitar.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan peruntukan yang besar dalam memastikan kesenangan rakyat dan pembangunan negara. - Gambar Muiz Matdani
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan peruntukan yang besar dalam memastikan kesenangan rakyat dan pembangunan negara. – Gambar Muiz Matdani

    Secara ringkasnya, strategi-strategi ini bertujuan untuk memastikan peningkatan produktiviti yang berterusan. Oleh itu RKN10 berfokus untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan kemahiran dalam pelbagai bidang antaranya sains dan teknologi, kejuruteraan, ekonomi, keusahawanan dan keselamatan. Justeru itu, usaha-usaha yang diungkayahkan bagi memastikan peningkatan dalam bidang-bidang tersebut termasuklah penambahbaikan dan pembangunan infrastruktur serta peruntukan bagi fasiliti yang akan membantu memberikan persekitaran yang kondusif dan berkesan dalam suasana pembelajaran.

    Dalam pada itu, tenaga kerja negara juga diberikan latihan secara berterusan dan bersesuaian bagi memastikan mereka sentiasa selari dengan arus kemodenan, terutama dalam teknologi-teknologi baru yang dapat memastikan pekerjaan dilakukan dengan efisien dan berkesan. Penyelidikan dalam bidang yang berkaitan juga diperkembangkan untuk memastikan pengetahuan dapat diperluaskan terutamanya dalam menangani pelbagai masalah dan kerumitan serta dapat mencari insentif lain dalam meningkatkan kemahiran dalam bidang-bidang tertentu.

    Secara umumnya, RKN10 telah melancarkan pelbagai jenis projek dan program yang akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi seperti yang telah dijelaskan. Namun, usaha dari segi keagamaan, kemasyarakatan, kebudayaan, dan persekitaran juga turut tidak dilupakan bagi memastikan peningkatan kualiti hidup yang menyeluruh. Semua usaha ini akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dalam memastikan negara sentiasa bersiap sedia dan dapat menanganinya dengan cekap sekiranya terjadi krisis-krisis ekonomi pada masa akan datang.

    Pendorong Wawasan 2035

    Tema RKN10 disokong lagi oleh enam pendorong terdiri daripada penduduk yang berpendidikan dan berkemahiran yang dapat dilahirkan melalui beberapa faktor seperti infrastruktur, fasiliti pendidikan dan guru yang berkualiti, tenaga kerja yang berkemahiran, pengetahuan keusahawanan dan lain-lain. Faktor-faktor ini dapat memastikan penduduk negara dapat dipupuk menjadi sebuah masyarakat yang berwawasan, berdedikasi dan inovatif sedari awal, seterusnya menjana penduduk yang berpendidikan dan berkemahiran.

    Di samping itu, ia juga didorong oleh kualiti kehidupan yang tinggi yang dapat ditingkatkan dengan adanya faktor-faktor yang membawa kepada keharmonian, kemakmuran dan keamanan negara. Contohnya perumahan yang mencukupi untuk rakyat, mempunyai akses bekalan air dan elektrik yang mencukupi, mendapat perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang komprehensif dan lain-lain lagi.

    Kualiti pendidikan dan kemahiran dalam pelbagai bidang antaranya sains dan teknologi, kejuruteraan, ekonomi, keusahawanan dan keselamatan telah dipergiatkan untuk memenuhi keperluan negara khasnya dan dunia amnya. - Gambar Lenna N.B.
    Kualiti pendidikan dan kemahiran dalam pelbagai bidang antaranya sains dan teknologi, kejuruteraan, ekonomi, keusahawanan dan keselamatan telah dipergiatkan untuk memenuhi keperluan negara khasnya dan dunia amnya. – Gambar Lenna N.B.
    Guru-guru yang berkualiti adalah salah satu faktor yang dapat membentuk penduduk di negara ini menjadi sebuah masyarakat yang berwawasan, berdedikasi dan inovatif sedari awal, seterusnya menjana penduduk yang berpendidikan dan berkemahiran. - Gambar Siti Nur Wasimah S
    Guru-guru yang berkualiti adalah salah satu faktor yang dapat membentuk penduduk di negara ini menjadi sebuah masyarakat yang berwawasan, berdedikasi dan inovatif sedari awal, seterusnya menjana penduduk yang berpendidikan dan berkemahiran. – Gambar Siti Nur Wasimah S

    Manakala pendorong ketiga merupakan persekitaran perniagaan yang kondusif, ini bermaksud proses-proses perniagaan haruslah memberi kesenangan kepada pengusaha-pengusaha. Ini termasuk proses awal dalam memulakan perniagaan. Proses yang mudah dan senang dalam memulakan perniagaan akan memberi dorongan kepada pengusaha-pengusaha baru untuk mula bergiat aktif dalam bidang perniagaan, seterusnya dapat mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara dengan tertubuhnya banyak perniagaan kecil dan sederhana (PKS). Antara lain, dalam usaha memberikan persekitaran perniagaan yang kondusif adalah menolong meningkatkan kapasiti dan kebolehan pengusaha-pengusaha baru dengan mengadakan bengkel, kursus dan latihan keusahawanan. Perlindungan hak cipta juga akan memupuk keyakinan dalam diri usahawan-usahawan dalam menghasilkan produk-produk yang kreatif dan inovatif.

    Dalam memastikan ekonomi negara tidak bergantung kepada hasil minyak dan gas, dalam erti kata lain negara mempunyai ekonomi daripada hasil yang pelbagai, negara akan terus berusaha untuk menjana ekonomi dari industri bukan minyak dan gas. Oleh yang demikian, pengetahuan dan inovasi sangat penting dalam memastikan ekonomi yang produktif dan progresif. Ini merupakan pendorong keempat yang akan membantu dalam merealisasikan matlamat wawasan 2035.

    Pentadbiran yang baik dan pemodenan kerajaan juga menjadi satu daripada pendorong untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi. Negara juga sedang mempergiatkan pembinaan infrastruktur dan fasiliti awam yang berkualiti dalam memastikan kualiti pekerjaan dapat dipertingkatkan. Selain daripada itu, perkhidmatan awam yang profesional juga merupakan faktor penting dalam mewujudkan pentadbiran yang berkesan. Peraturan dan undang-undang juga dikemaskinikan sejajar dengan keperluan dan penggunaannya pada masa ini. Usaha-usaha ini akan membantu dalam meningkatkan dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi.

    Sehubungan dengan itu, pembangunan infrastruktur yang berkualiti dan berdaya tahan juga turut mendorong dalam mempercepatkan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan seterusnya merealisasikan matlamat Wawasan 2035. Pembangunan infrastruktur yang berkualiti ini diharap akan dapat membantu dalam mencapai ekonomi yang mapan.

    RKN10 berakhir pada tahun ini, meskipun begitu perjalanan dalam merealisasikan matlamatnya masih jauh. Walau bagaimanapun, usaha-usaha yang giat dilaksanakan telah menampakkan hasil dan sedikit demi sedikit telah berjaya menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang akan menjulang kemajuannya pada tahun 2035, setanding dengan negara maju lainnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda