Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    ‘Wawasan 2035 perlu direalisasi’

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 kali pertama bagi tahun 2023 yang berlangsung di Istana Nurul Iman, hari ini.

    Juga berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Timbalan Pengerusi Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035.

    Semasa berkenan mengurniakan titah, Baginda mempersoalkan mengenai usaha yang dijalankan untuk merealisasikan wawasan 2035.

    “Pelbagai usaha sudah pun dijalankan bagi merealisasikan wawasan 2035 ini. Namun persoalannya, sejauh manakah usaha telah berhasil sedang tempoh cuma tinggal 12 tahun sahaja lagi?” soal Baginda.

    Dalam keadaan dunia sangat sukar diramal, Baginda memaklumkan yang Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali daripada menghadapi kesan-kesan global seperti konflik geopolitik, penularan wabak koronavirus dan situasi ekonomi tidak menentu.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah semasa berangkat mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 di Istana Nurul Iman. – Gambar oleh Infofoto
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 di Istana Nurul Iman. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah. – Gambar oleh Infofoto

    “Ini semua sudah setentunya memaksa kita untuk berfikir lebih fokus kepada pemeriksaan dasar dan kemampuan. Perlu diingat, pembentukan asal wawasan Brunei berlaku dalam satu masa yang berbeza daripada masa sekarang.

    “Wawasan Brunei 2035 adalah merupakan aspirasi Beta sendiri bagi melihat pembangunan negara berjalan lancar.

    “Pada awalnya wawasan diterbitkan melalui Badan Perencana Kemajuan Jangka Panjang bagi merancang pembangunan negara dalam tempoh 30 tahun ke hadapan.

    “Oleh itu untuk melihatnya sentiasa relevan dan unggul maka kita perlu memastikan apa yang dirancang akan tetap kekal sebagai sasaran,” titah Baginda lagi.

    Baginda menekankan Wawasan Brunei 2035 perlu diberikan perhatian sewajarnya dalam mengharungi cabaran-cabaran sukar yang dibawa oleh arus perubahan masa yang sangat pesat dengan lebih fokus kepada pencapaian matlamat-matlamat yang dirancang.

    Baginda juga tidak mahu Wawasan Brunei 2035 hanya tinggal retorik sahaja sebagai satu angan-angan kosong, namun ia mesti direalisasikan sepenuhnya sebagai agenda utama pembangunan negara.

    Baginda mengambil maklum terhadap usaha-usaha mengukuhkan perlaksanaan strategik dan pelan-pelan tindakan yang menjurus kepada mencapai matlamat-matlamat utama wawasan iaitu melalui Rangka Tindakan Tenaga Kerja bagi Matlamat Pertama yang diterajui oleh Kementerian Pendidikan dan Manpower Planning and Employment Council (MPEC); Rangka Tindakan Sosial bagi Matlamat Kedua yang diterajui oleh Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS) dan Rangka Tindakan Ekonomi bagi Matlamat Ketiga yang diterajui oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    Maka dengan adanya rangka tindakan-rangka tindakan itu, Baginda berharap negara akan dapat mentransformasikan tindakan termasuk penyejajaran dengan keperluan projek-projek rancangan kemajuan negara.

    Selain itu, Baginda juga berharap permesyuaratan di peringkat Jawatankuasa Kerja Wawasan 2035 akan dimanfaatkan sepenuhnya sebagai landasan Whole of Government yang menyatukan isu-isu termasuk juga penyelesaian sebarang permasalahan.

    “Wawasan Brunei 2035 adalah merupakan harapan tinggi rakyat dan penduduk negara ini untuk melihat tindakan-tindakan yang diambil melalui majlis tertinggi ini akan lebih fokus kepada kepentingan rakyat, ‘berpusatkan rakyat’.

    “Untuk ini kita nampak masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan setakat perlaksanaan inisiatif-inisiatif sahaja belumlah mencukupi.

    “Jika tidak diikut oleh penelitian-penelitian terhadap inisiatif-inisiatif tersebut, bagaimana hasil atau keberkesanan ia juga diharapkan untuk melihat lebih jauh lagi ke hadapan semua perancangan yang mampu membawa negara kepada perubahan-perubahan besar yang ditunggu-tunggu,” tekan Baginda.

    Oleh itu, Baginda berharap semua pihak tidak akan goyang kaki melainkan sama-sama mesti serentak menggandakan usaha ke arah mencapai semua sasaran yang telah ditetapkan.

    “Pihak pelaksana tidak boleh lemah atau semangat sejuk untuk menghadapi sebarang cabaran. Sangat mustahak untuk diingat bahawa sebarang usaha atau kerja untuk mengurus negara dan kerajaan memang tidak sunyi daripada cabaran,” titah Baginda.

    Terdahulu, Baginda turut merakamkan penghargaan kepada paduka anakanda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota atas pimpinan khidmat bakti tenaga dan buah fikiran yang telah disumbangkan selama menjadi Pengerusi Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035.

    Baginda juga mengucapkan tahniah kepada semua ahli atas pelantikan semula dan pelantikan baharu dalam Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 serta merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada mantan ahli-ahli Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 atas sumbangan-sumbangan yang telah diberikan.

    Pengemaskinian keahlian Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 adalah merupakan wadah strategik yang Baginda harapkan akan menjadikan majlis sebagai landasan utama Whole of Government.

    Dengan adanya keahlian semua Menteri-menteri Kabinet, Baginda berharap ia akan dapat mencetuskan pemikiran-pemikiran besar serta transformatif ke atas menjana kesejahteraan rakyat dan penduduk serta memastikan kemakmuran negara dipertahankan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menaruh harapan yang tinggi kepada ahli-ahli yang baru dilantik untuk memberikan sokongan padu bagi menjayakan Wawasan Brunei 2035.

    Sebelum mesyuarat bermula, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat telah dibacakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Antara peranan utama Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 adalah untuk memastikan strategi dan dasar berkaitan dengan agenda pembangunan negara diselaraskan di peringkat tertinggi dengan lebih bersistematik serta berkesinambungan bagi menangani isu-isu dan cabaran-cabaran menerajui negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...