Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Webinar bincang kemajuan bidang kardiologi

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Lebih 45 orang profesional daripada pelbagai institusi di Negara Brunei Darussalam termasuk Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Kementerian Kesihatan telah menyertai webinar bertajuk Precision Cardiology: Disrupting Healthcare Globally, yang diadakan secara dalam talian pada 15 November lalu.

    Acara yang dikendalikan oleh Pusat bagi Pembelajaran Sepanjang Hayat (C3L), UBD dengan kerjasama Sekolah Sains Digital (SDS), Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS) dengan sokongan Suruhanjaya Tinggi Kanada di Negara Brunei Darussalam itu telah mengetengahkan ahli kardiologi dari BioAro, Kanada, Dr Anmol Kapoor.

    Para peserta webinar terdiri daripada profesional penjagaan kesihatan, ahli akademik, pelajar, penyelidik dan pentadbiran yang ingin meneroka perkembangan terkini dalam bidang berkenaan.

    Webinar itu dihasratkan untuk mewujudkan penghayatan yang mendalam bagi sinergi di antara genomik dan kardiologi, sekali gus membuka laluan kepada penjagaan kardiovaskular yang lebih efektif, khusus dan berpaksikan pesakit dalam era perubatan terperinci.

    Webinar itu dilancarkan dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Pengarah C3L, Dr Nik Ani Afiqah Haji Mohamad Tuah dan tetamu kehormat, Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Ambra Dickie.

    Dalam ucapan alu-aluannya, PYT Ambra Dickie menyatakan Kanada dan Negara Brunei Darussalam telah menyaksikan pertumbuhan dalam bidang kerjasama yang merentas pelbagai sektor.

    Beliau berkata sistem penjagaan kesihatan kedua-dua buah negara adalah program kesihatan sejagat yang serupa dan kedua-dua buah negara juga mempunyai hubungan erat di antara profesional perubatan berikutan program yang menggalakkan warga Brunei untuk mempelajari bidang perubatan di Kanada.

    Selain itu, teknologi perubatan dan kesihatan digital yang canggih merupakan masa depan penjagaan kesihatan di mana ia menyediakan diagnosis serta rawatan yang lebih efektif dan cepat, tambah beliau.

    Webinar itu juga menyelidiki pertimbangan etika, undang-undang dan sosial yang berkaitan dengan bidang baharu di mana pengimbangan potensi genomik yang luas dengan ekuiti dan privasi merupakan aspek kritikal yang ditekankan.

    Dr Anmol Kapoor semasa menyampaikan pembentangannya secara dalam talian, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN UBD
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...