Saturday, July 27, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Wei Chong-Tee Kai Wun perlu fokus rebut slot ke Piala Thomas 2024

    KUALA LUMPUR, 23 FEB – Beregu lelaki Malaysia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun perlu fokus terhadap misi merebut tempat dalam skuad Piala Thomas 2024 selepas tidak disenaraikan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, minggu lalu.

    Jurulatih negara, Tan Bin Shen berkata beregu ranking ke-18 dunia itu berpotensi diturunkan sebagai pasangan kedua negara dalam Piala Thomas 2024 di Chengdu, China dari 28 April-5 Mei ini, sekiranya dapat membuktikan kebolehan dalam kejohanan yang disertai mereka selepas ini.

    “Latihan mereka perlahan-lahan semakin baik, saya harap mereka dapat mengatasi tekanan serta rasa tidak yakin di gelanggang. Mereka perlu membuktikan kebolehan dalam kejohanan kerana kami memerlukan pasangan kedua yang kuat dalam saingan Piala Thomas.

    “Selepas beberapa kali berbincang dengan mereka, saya nampak Wei Chong-Kai Wun faham yang mereka perlu keluar daripada berada di takuk lama,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan, hari ini.

    Wei Chong-Kai Wun beraksi hambar pada permulaan musim ini selepas tersingkir awal dalam kesemua tiga kejohanan disertai termasuk tumpas pada pusingan kedua Masters Indonesia 2024 kepada wakil tuan rumah, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, 18-21, 20-22, bulan lepas.

    Gandingan juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijangka dipertaruhkan sebagai beregu utama Malaysia, manakala Wei Chong-Kai Wun akan bersaing dengan pasangan profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (ranking ke-12); Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (ranking ke-19) dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri (ranking ke-39) bagi merebut tempat ke Piala Thomas 2024.

    Wei Chong-Kai Wun akan membuat perhitungan dengan pasangan Kanada, Kevin Lee-Ty Alexander Lindemann pada pusingan pertama Terbuka Perancis 2024 manakala lawan dari Jepun, Akira Koga-Taichi Saito menanti mereka pada pusingan pembukaan All England 2024. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...