Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Welsford menang peringkat ketiga Jelajah Australia

    ADELAIDE, 18 JAN – Pelumba Australia, Sam Welsford meraih kemenangan peringkat ketiga dalam prestasi cemerlang buat pasukan Bora-Hansgrohe, ketika Isaac Del Toro Romero mengekalkan kedudukan pendahulu keseluruhan pada separuh perjalanan Jelajah Down Under Australia hari ini.

    Welsford, yang memenangi peringkat pertama pada Selasa lalu dalam pembukaan musim WorldTour, mengambil kesempatan penuh daripada satu lagi pendahuluan terbaik daripada rakan sepasukannya untuk menamatkan saingan di hadapan Elia Viviani dari Itali dalam penamat yang mendebarkan di Campbelltown.

    Tetapi pelumba muda Mexico, Del Toro Romero (UAE Team Emirates), mengekalkan jersi pemimpin warna kuning tanah sebanyak dua saat di depan Corbin Strong (Israel Premier Tech) dari New Zealand, dengan pelumba Perancis, Axel Mariault (Cofidis), menduduki tempat ketiga, lima saat di belakang pendahulu.

    Welsford menduduki tangga ke-72 keseluruhan, 50 saat di belakang pemenang.

    “Untuk mendapatkan satu, apatah lagi dua adalah sangat istimewa, dan mereka ini sangat mengagumkan,” kata Welsford.

    Welsford berada di kedudukan yang sempurna di belakang pasukannya dalam kayuhan yang pantas dan mencemaskan semasa menuruni Campbelltown.

    Pasukan Bora-Hansgrohe Jerman menghuni tempat ketiga teratas kumpulan dan dengan sabar menunggu peluang mereka untuk memecut ke depan dengan tiga kilometer ke garisan penamat.

    Dalam 300 meter terakhir, Danny Van Poppel memimpin Welsford memecut dan memaksa pelumba Australia berusia 27 tahun itu menambah kelajuannya ke garisan penamat meninggalkan Viviani (Ineos Grenadiers) jauh di belakang.

    Sementara Welsford mendominasi tajuk berita utama di peringkat ketiga sejauh 145.3 kilometer, Del Toro Romero mengakhiri perlumbaan dengan selamat di garisan penamat, meraih tempat ke-33 dan menerima pujian kerana mencatat masa yang sama dengan Welsford. – AFP

    Welsford meraikan kejayaan peringkat pertama perlumbaan berbasikal Jelajah Down Under di Adelaide pada 16 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...