GENEVA, 3 FEB – Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini dijangka berlangsung dalam suasana krisis berikutan kesan daripada keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk menarik diri daripada badan kesihatan dunia itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut laporan daripada AP, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus turut meminta pemimpin dunia untuk mendesak Washington agar membatalkan keputusan Presiden Donald Trump untuk menarik diri daripada agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.
Ini kerana, Tedros dalam satu mesyuarat tertutup bersama para diplomat minggu lalu menegaskan bahawa AS akan kehilangan maklumat penting mengenai wabak penyakit global.
Sejak Presiden Donald Trump mengarahkan AS keluar dari WHO pada hari pertama beliau kembali memegang jawatan, kebimbangan meningkat di ibu pejabat agensi PBB di Geneva.
AS merupakan penyumbang terbesar kepada WHO, menyumbang sebanyak 18 peratus daripada keseluruhan bajet organisasi itu pada 2024.
Keputusan itu dijangka menyebabkan pengurangan tenaga kerja dan pemotongan program kesihatan bagi menampung kekurangan dana.
AS kini masih mempunyai wakil dalam Lembaga Eksekutif WHO, yang terdiri daripada 34 anggota dan merupakan badan pembuat keputusan tertinggi antara mesyuarat agung tahunan organisasi itu.
Penarikan diri AS dijadualkan berkuat kuasa pada 22 Januari 2026, namun pentadbiran baharu di Washington mengarahkan pegawainya untuk menghentikan kerjasama dengan WHO serta-merta.
WHO berharap negara lain akan mempertimbangkan untuk meningkatkan sumbangan mereka bagi mengimbangi defisit kewangan yang ditinggalkan oleh AS.
Sumbangan wajib setiap 194 negara anggota WHO ditentukan berdasarkan kekuatan ekonomi masing-masing.
Ketika Trump menggantung dana WHO ketika penggal pertamanya sebagai presiden, Jerman mengambil langkah mengisi kekurangan itu dan menjadi penyumbang terbesar bagi bajet WHO untuk tempoh 2020-2021. – Bernama