GENEVA, 28 JAN – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin berikrar untuk mengambil tindakan berikutan banyak dakwaan daripada kakitangan dahulu dan sekarang terhadap pengarah wilayah barat Pasifik, termasuk tingkah laku perkauman, menggunakan kata-kata kesat dan autoritarian.
Doktor dari Jepun, Takeshi Kasai, menafikan segala dakwaan itu, dituduh mempengerusikan dengan ‘suasana toksik’ di pejabat serantau WHO di Manila, dengan budaya ‘buli dan mengejek secara terbuka’.
Kakitangan itu, yang tidak mahu dikenali ‘kerana bimbang menerima balasan’, menuduhnya membuat “kata-kata penghinaan kepada kakitangan dari negara tertentu”, khususnya warga Filipina tempatan.
“WHO menyedari dakwaan itu dan sedang mengambil semua langkah yang sewajarnya untuk membuat susulan mengenai perkara itu,” kata ibu pejabat global organisasi itu di Geneva kepada AFP, tanpa mengulas lanjut.
Kelmarin, agensi berita The Associated Press menerbitkan siasatan yang menunjukkan bahawa berpuluh-puluh kakitangan WHO memfailkan aduan dalaman pada bulan Oktober.
Mereka kemudian menghantar e-mel pada pertengahan Januari kepada negara anggota di lembaga eksekutif 34 negara WHO – yang bermesyuarat di Geneva minggu ini dan dihadiri oleh Kasai. – AFP