Sunday, March 16, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO gesa penonton Euro diawasi

    COPENHAGEN, 1 JULAI – Bandar tuan rumah perlawanan bola sepak Euro 2020 perlu memantau pergerakan penonton dengan lebih baik, termasuk sebelum mereka tiba dan setelah mereka meninggalkan stadium, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.

    “Kita perlu melihat lebih jauh dari stadium sendiri,” kata Pegawai Perubatan Kanan WHO, Catherine Smallwood, di pejabat WHO di Eropah, pada sidang media ketika ditanya mengenai cadangan dalam menghadapi peningkatan kes di London dan Saint Petersburg. Ibu negara Britain akan menjadi tuan rumah separuh akhir dan final kejohanan minggu depan, sementara bandar Rusia akan menjadi tuan rumah suku akhir antara Switzerland dan Sepanyol esok.

    Ditanya mengenai apakah kejuaraan Euro berpotensi bertindak sebagai acara ‘penyebaran virus’, pengarah serantau WHO untuk Eropah Hans Kluge menjawab “Saya harap tidak, tetapi ia tidak mustahil.”

    Ratusan kes telah dikesan di kalangan penonton yang menghadiri perlawanan Euro, termasuk warga Scotland yang kembali dari London, warga Finland kembali dari Saint Petersburg dan pembawa virus varian Delta yang lebih menular di Copenhagen. “Apa yang perlu kita perhatikan adalah di sekitar stadium. Bagaimana orang sampai di sana? Adakah mereka melakukan perjalanan dengan konvoi bas yang ramai? Adakah mereka mematuhi garis panduan kesihatan?” kata Smallwood. Dia juga menambah penting untuk melihat apa yang terjadi lepas pertandingan, misalnya jika peminat berkumpul di bar yang ramai. – AFP

    Peminat meninggalkan Stadium Wembley setelah perlawanan pusingan 16 akhir Euro 2020 antara England dan Jerman, di London pada 29 Jun lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda