Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Worldcon pukau peminat fiksyen sains

    CHENGDU, CHINA – Dalam bangunan anggun warna perak yang direka bentuk khas untuk kelihatan seperti nebula atau tompokan cahaya gas yang tersebar, beribu-ribu peminat fiksyen sains China yang teruja berkumpul minggu ini untuk konvensyen antarabangsa besar-besaran.

    Konvensyen Cereka Sains Dunia atau Worldcon, acara fiksyen sains tertua dan paling besar di seluruh dunia, tidak pernah diadakan di China sebelum ini.

    Konvensyen itu bertempat di Muzium Fiksyen Sains Chengdu yang menarik – direka oleh arkitek terkenal Zaha Hadid, dibina dalam masa satu tahun sahaja dan dibuka untuk Worldcon.

    Pada Jumaat lalu, ruang atrium yang luas itu dipenuhi dengan suara percakapan yang teruja.

    “Menghadiri konvensyen cereka sains adalah salah satu peristiwa paling menggembirakan sepanjang hidup saya,” kata seorang wanita muda yang memberikan namanya sebagai Monet.

    Pelawat berjalan bersebelahan patung gergasi di Konvensyen Fiksyen Sains Dunia 2023 di Chengdu, barat daya wilayah Sichuan, China. – Gambar AFP
    Pelawat menyaksikan pertunjukan semasa Konvensyen Fiksyen Sains Dunia di Chengdu. – Gambar AFP
    Pengunjung memeriksa maskot Kormo yang dipamerkan di konvensyen di Chengdu. – Gambar AFP
    Kanak-kanak berjalan di depan sut angkasa filem cereka sains Cina The Wandering Earth yang dipamerkan semasa konvensyen tersebut. – Gambar AFP
    Pengunjung menaiki eskalator menuju ke Konvensyen Fiksyen Sains di Chengdu. – Gambar AFP
    Seorang budak lelaki menggunakan kaca mata VR semasa Konvensyen Fiksyen Sains di Chengdu. – Gambar AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP

    Wanita berusia 21 tahun itu memakai kostum yang diilhamkan oleh filem popular Wandering Earth 2, meskipun dengan beberapa penyesuaian – pelbagai lencana dan reben, dan telinga berbulu yang berpusing untuk dipadankan dengan pergerakan kepalanya.

    Satu lilitan lengan merah menunjukkan dia adalah ahli kumpulan peminat Wandering Earth bawah tanah yang berpangkalan di Chengdu, katanya.

    “Saya tidak menyangka akan bertemu begitu ramai rakan di sini, yang juga suka fiksyen sains,” ujarnya, jelas terharu.

    “Ia benar-benar amat berharga. Sukar untuk berkongsi minat saya dengan orang yang tidak faham.”

    “Saya fikir fiksyen sains harus menjadi cara hidup,” beritahu Icing, 21 tahun yang memakai rambut palsu berwarna perang dan kanta lekap warna ambar, kepada AFP.

    “Sebagai contoh, saya memakai pakaian ini hari ini… Saya fikir kita harus memasukkan cereka sains, memasukkan fantasi dalam kehidupan kita sendiri. Kita tidak sepatutnya kehilangan sifat keanak-anakan kita,” katanya.

    Di sekelilingnya, sekumpulan kanak-kanak sekolah berbual-bual gembira ketika mereka berbaris masuk melalui pintu masuk dewan, didominasi oleh patung raksasa anjing robot kesayangan daripada filem Wandering Earth 2.

    “Saya rasa saya tidak pernah melihat tempat yang sungguh mengagumkan seperti itu sebelum ini,” tambah Icing sambil memandang sekeliling dengan mata terbeliak.

    Skala besar

    Mengadakan acara itu di China juga dibelenggu kontroversi, dengan petisyen hak penganjuran dibatalkan atas dakwaan pencabulan hak asasi manusia di wilayah barat laut Xinjiang telah tersebar sebelum ini.

    Worldcon ini juga kelihatan sangat berbeza berbanding dengan acara lalu di bandar-bandar global lain, yang mengikut sejarah dikendalikan oleh sukarelawan dengan kos yang ditanggung oleh ahli.

    Para hadirin pada Jumaat kebanyakannya berbangsa Cina, dengan hanya sebahagian kecil warga asing yang telah mengadakan lawatan itu.

    Bruce MacDermott, dengan pengalaman Worldcon pertamanya pada tahun 1968, berkata skala dan rasa tidaklah sama seperti apa yang pernah dilihatnya sebelum ini.

    “Saya tidak fikir kami pernah lihat – melainkan mereka kembali ke China – konvensyen yang dikendalikan benar-benar teliti seperti ini,” kata lelaki berusia 74 tahun itu.

    Peralihan untuk menjadikannya rasmi adalah satu lagi faktor yang diluahkan sebagai kurang menyenangkan oleh sesetengah peminat.

    “Jika mereka mengadakan konvensyen yang baik, saya tidak kisah,” kata MacDermott.
    “Apa yang penting adalah pengalaman orang ramai.”

    Liu Besar

    Minat global terhadap fiksyen sains China telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, selepas siri ‘Tiga Badan’ Liu Cixin menjadi fenomena antarabangsa.

    Liu ialah pengarang Asia pertama yang memenangi novel terbaik di Anugerah Hugo Worldcon, yang disifatkan sebagai ‘Hadiah Nobel fiksyen sains’.

    Filem Wandering Earth juga berdasarkan cerpen Liu.

    Sambil memegang timbunan buku, Chen Tingting yang berusia 39 tahun memberitahu AFP dia telah memberikan siri ‘Tiga Badan’ kepada rakannya yang mengharungi masa sukar.

    “Ada satu tempoh apabila saya berasa agak tidak puas hati, tetapi selepas saya membaca buku-buku itu, saya mula berfikir alam semesta ini sangat luas, manusia tidak begitu penting dan amat kerdil secara perbandingan,” jelasnya.

    Pada petang Jumaat, barisan panjang peminat untuk menandatangani buku Liu berliku-liku di sekitar selekoh muzium sejauh ratusan meter, dengan beberapa peminat bangga memberitahu AFP bahawa mereka telah menunggu empat jam.

    Yang Maoxu datang ke Worldcon dengan memakai kostum Star Wars lengkap dengan topi keledar dan dua lampu suar, tetapi dia juga berkata Liu adalah kegemarannya.

    “Saya terjumpa karya Big Liu agak lewat dan benar-benar menyesal kerana tidak menemuinya lebih awal,” katanya.

    “Rasanya seperti saya kenal dia selama ini.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...