Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Xi akan lawat Rusia untuk sidang kemuncak BRICS

    MOSCOW, 13 SEPT – Pemimpin China, Xi Jinping akan melawat Rusia bulan depan untuk sidang kemuncak blok BRICS bagi ekonomi membangun, Menteri Luar China, Wang Yi mengesahkan kelmarin.

    Langkah tersebut dibuat setekah Moscow dan Beijing berusaha untuk menentang pengaruh global Barat dan merupakan lawatan Xi ke Rusia yang kedua sejak Februari 2022.

    Wang Yi bertemu dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di St. Petersburg kelmarin dan kedua-duanya memuji hubungan antara kedua-dua negara. Menteri luar China berkata bahawa Xi ‘dengan senang hati menerima’ jemputan Putin untuk menghadiri sidang kemuncak BRICS di bandar Kazan pada Oktober.

    Putin pula akan mengumumkan bahawa kedua-duanya juga akan duduk untuk bermesyuarat di Kazan untuk membincangkan pelbagai aspek hubungan Rusia-China yang telah ‘berkembang agak berjaya ke semua arah’.

    Kali terakhir Xi melawat Rusia pada Mac 2023 dan Putin membalas dengan lawatannya sendiri ke China pada Oktober tahun itu. Kedua-dua pemimpin itu juga telah bertemu di Beijing pada Mei, di mana Putin melakukan lawatan asing pertama dalam penggal kelimanya sebagai presiden, dan di Kazakhstan pada Julai.

    Moscow telah mengalihkan sebahagian besar eksport tenaganya ke China dan bergantung kepada syarikat China untuk mengimport komponen berteknologi tinggi untuk industri ketenteraan Rusia. Kedua-dua negara juga telah mengeratkan hubungan ketenteraan mereka dalam dua tahun kebelakangan ini.

    Perikatan BRICS yang telah diasaskan pada 2006, mempunyai matlamat untuk menguatkan suara-suara ekonomi yang sedang membangun untuk mengimbangi kuasa global yang diterajui Barat. Ahli pengasasnya telah menyeru pengurusan kuasa dunia yang lebih adil dan juga pembaharuan dilakukan terhadap institusi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tabung Kewangan Antarabangsa dan juga Bank Dunia. – AP

    Xi Jinping (kanan) dan Vladimir Putin berjabat tangan sebelum ceramah mereka di Beijing, pada 16 Mei. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda