CAPE COAST – Pendakwah dari Amerika Syarikat (AS), Roxanne Caleb terasa sedih tatkala dia keluar dari penjara bawah tanah yang gelap di mana beberapa hamba abdi dari Afrika pernah ditahan sebelum dihantar melalui lautan Atlantik menuju ke Amerika.
Caleb merupakan antara pengunjung dari Afrika-Amerika yang berkunjung ke Ghana baru-baru ini bagi memperingati ‘Year of Return’, ulang tahun ke-400 pendaratan kapal hamba abdi yang pertama di Virginia. Negara yang terletak di Afrika Barat itu cuba memperingati peristiwa itu untuk memberi rangsangan utama kepada bilangan kedatangan pelancong sekali gus menggalakkan keturunan keluarga hamba adi terdahulu untuk ‘pulang’.
Istana Cape Coast, yang terletak 150 kilometer dari ibu kota, Accra, merupakan tarikan utama bagi mereka yang berkunjung di Ghana. Kubu putih yang dibarisi dengan bedil meriam itu merupakan salah satu daripada puluhan penjara yang terletak berdepan Laut Atlantik di mana hamba-hamba abdi dikurung sebelum membuat perjalanan mereka ke dunia baharu.
Sekumpulan kecil penduduk Afrika-Amerika telah datang ke tapak tersebut tahun ini bagi menandakan ulang tahun sejak pendaratan kapal hamba abdi pertama pada tahun 1619. Di antaranya adalah delegasi Congressional Black Caucus yang diketuai oleh Speaker Dewan, Nancy Pelosi yang telah melawat tapak ini pada bulan lepas.
Ghana, merupakan salah sebuah negara demokrasi yang stabil di benua Afrika telah lama menjadikan negara itu sebagai destinasi untuk Afrika-Amerika bagi meneroka warisan mereka bahkan peluang untuk menetap secara kekal. Pada tahun 2009, Presiden Barack Obama telah mengadakan lawatan ke Istana Cape Coast itu bersama keluarganya bagi memberikan penghormatan.
‘Year of Return’ telah memberikan dorongan baharu kepada negara itu dan berharap akan dapat meningkatkan lagi bilangan pelancong di mana rekod bilangan telah meningkat dari 350,000 pada tahun 2018 kepada 500,000 pada tahun ini, termasuk, 45,000 penduduk Afrika-Amerika.
Kojo Keelson telah menghabiskan masa selama sembilan tahun menjadi juru pandu pelancong di sekitar Istana Cape Coast dan mengatakan bahawa, tahun 2019 memperlihatkan peningkatan kerana Ghana cuba memperluaskan industri itu yang menyumbang AS$925 juta peningkatan ekonomi. – AFP
