Monday, March 17, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yuran perpindahan melampau – Hernandez

    BERLIN, 1 OKT – Lucas Hernandez, penandatanganan termahal dalam sejarah Bayern Munich, berkata yuran ‘luar biasa’ yang dibayar ketika ini dalam pasaran perpindahan telah meletakkan tekanan ke atas sebahagian pemain bagi mengimbangi jumlah luar biasa itu.

    Pemenang Piala Dunia 2018 berusia 23 tahun itu telah ditandatangani sebanyak 80 juta euro dari Atletico Madrid dan menjadi pemain Bayern pada Julai selepas pulih daripada pembedahan lutut pada Mac.

    Pemain Perancis itu berharga lebih dua kali ganda berbanding penandatanganan rekod Bayern sebelum ini, Corentin Tolisso, dari Lyon pada tahun 2017/18 dengan harga 41.5 juta euro dan Javi Martinez dengan harga 40 juta euro dari Bilbao pada tahun 2012/13.

    Harga yang dibayar Bayern bagi Hernandez dilihat agak kecil berbanding rekod dunia 220 juta euro yang dibayar Paris Saint-Germain kepada Barcelona bagi mendapatkan penyerang Brazil, Neymar pada Ogos 2017.

    “Yuran perpindahan baru-baru ini menjadi semakin melampau. Jumlah luar biasa dibayar,” kata Hernandez.

    Dia bermain 90 minit dalam empat dari tujuh aksi terakhirnya dan dijangka diturunkan ketika pendahulu Bundesliga itu bermain menentang Tottenham Hotspur bagi saingan Liga Juara-Juara esok.

    Hernandez berkata dia mahu membuktikan harga dirinya yang dibayar Bayern.

    “Dengan rasa hormat kepada kelab yang sanggup membayar saya dengan jumlah ini, kini bergantung pada saya untuk membalasnya di atas padang dan memberikan segala-galanya,” tambahnya.

    “Suatu hari nanti kelab ini akan berbangga dengan jumlah yang mereka belanjakan untuk mendapatkan saya.” – AFP

    Hernandez berikrar untuk memberikan yang terbaik di atas padang bagi membalas kesanggupan Bayern untuk mendapatkannya dengan harga 80 juta euro. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda