HANGZHOU, 4 OKT – Perseorangan lelaki utama Malaysia, Lee Zii Jia mara ke suku akhir selepas menundukkan juara dunia Kunlavut Vitidsan di pusingan ketiga acara badminton Sukan Asia Hangzhou 2022 di Gimnasium Binjiang hari ini.
Pemain di ranking ke-16 dunia itu yang mendapat sokongan padu penyokong, mengetepikan Kunvalut 10-21, 21-19, 21-6 untuk menempah tempat di suku akhir, selepas tidak berjaya melakukannya pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang.
Tewas pada 10-21 di set pertama, pemain Malaysia berusia 25 tahun itu bangkit memenangi set kedua dengan 21-19 sebelum menguasai set penentuan 21-6.
Zii Jia akan berdepan wakil India HS Prannoy, yang mengetepikan Dmitriy Panarin dari Kazakhstan 21-12, 21-13, esok.
“Walaupun ketinggalan tujuh mata pada set kedua, saya cuba sedaya upaya kerana saya tahu, jika kalah bermakna tersingkir. Tapi jika strategi menjadi, situasi akan berubah,” katanya kepada pemberita.
“Walaupun mengalami banyak kekalahan tahun ini, saya sentiasa berusaha untuk menukar keputusan tapi kadang-kadang bukan hari saya. Saya perlu terima sebagai pengajaran, melalui pengalaman kita akan jadikan kita pemain yang matang dan berpengalaman,” tambahnya – Bernama
