Tuesday, March 18, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zii Jia sah keluar dari RTG

    SUBANG JAYA, 14 NOV – Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia kekal dengan keputusan untuk tidak menandatangani persetujuan komitmen (LOC) sekali gus tidak lagi berada di bawah program Road to Gold (RTG).

    Jawatankuasa progam RTG menerusi kenyataan hari ini memaklumkan keputusan tersebut dicapai bersama pasukan LZJ, mewakili atlet berusia 25 tahun itu menerusi pertemuan secara dalam talian.

    Menerusi pertemuan tersebut, Zii Jia diwakili jurulatihnya, Wong Tat Meng serta Liew Daren dan pengurusnya, Lee Zii Yi menerangkan pendirian diambil atlet itu untuk tidak menyertai program tersebut, selain tidak lagi memerlukan bantuan bagi merealisasikan prospek pingat di Sukan Olimpik 2024 Paris.

    “Namun begitu, pasukan LZJ telah memberi jaminan bahawa mereka akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan berkaitan.

    “Ia seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) menjelang Sukan Olimpik Paris,” menurut kenyatan itu.

    Pada Oktober lepas, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata Zii Jia yang berada di ranking ke-11 dunia, merupakan satu-satunya atlet yang belum menandatangani perjanjian itu dan diberikan tempoh 14 hari untuk melengkapkan komitmen berkenaan. Tempoh tersebut berakhir hari ini.

    Sementara itu, Hannah yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa RTG ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Wanita Dalam Sukan ASEAN 2023 hari ini, berkata pihaknya tidak boleh memaksa mana-mana atlet untuk bersetuju bagi menyertai program RTG. – Bernama

    Zii Jia beraksi semasa acara badminton Sukan Asia Hangzhou pada tahun 2022. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda