Saturday, July 27, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Zikrullah: Ketahui hakikat, adab dan hukum-hakamnya

    Mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala merupakan impian setiap muslim. Pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk mendapat kedudukan tersebut.

    Salah satu cara yang paling mudah dan berkesan ialah dengan mengerjakan zikrullah, iaitu berzikir mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Namun begitu, untuk mencapai kesempurnaan dalam mengerjakan zikrullah, tidak memadai sekadar mengerjakannya tanpa kefahaman dan pengetahuan yang mencukupi mengenainya.

    Boleh jadi kaedah mengerjakan zikrullah kita itu tidak menepati kehendak syara‘ atau tidak memenuhi tuntutan adab-adabnya. Akibatnya, zikrullah yang dikerjakan itu tidak memberi apa-apa kesan dalam diri ataupun mengakibatkan kurang pahala.

    Keluaran kali ini akan menjelaskan hakikat zikrullah dari sudut bahasa, istilah, saranan mengerjakannya, kelebihan, adab-adab dan beberapa hukum yang berkaitan dengannya.

    Mudah-mudahan dengan mengetahui dan memahaminya dapat membantu kita mengerjakan zikrullah dengan lebih sempurna dan sekaligus menatijahkan rasa khusyu‘ dan kelazatan ketika mengerjakannya.

    GAMBAR FREEPIK

    DEFINISI ZIKIR

    Zikir dari sudut bahasa mengandungi dua makna, iaitu:

    (i) Sesuatu yang dilafazkan dengan lidah.

    (ii) Mengingat dalam hati, yakni lawan bagi lupa.

    Manakala dari sudut istilah pula, ia mengandungi dua makna, iaitu makna umum dan makna khusus.

    (i) Istilah zikir dalam maknanya yang umum ialah:

    Mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sama ada dengan melafazkan atau menyebutkan akan zatNya, sifat-sifatNya, perbuatan-perbuatanNya, hukum-hakam yang disyari‘atkanNya, membaca Kitabnya, memohon dan meminta doa kepadaNya, memuji dan mensucikanNya atau dengan mentauhidkan, memanjatkan puji dan syukur ke atasNya dan mengagungkanNya.

    Istilah ini merupakan istilah umum bagi zikir yang merungkumi semua perbuatan yang dilakukan dengan tujuan mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Maka berdasarkan takrif ini, semua zikir, wirid, doa, perbuatan membaca al-Qur’an dan seumpamanya termasuk dalam maksud ‘zikir’.

    Penggunaan lafaz zikir dalam istilah umum ini ada disebutkan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah dalam Fath al-Bari, katanya: “Dan lafaz ‘zikrullah’ juga dipergunakan dengan maksud mengerjakan secara berterusan amalan-amalan yang diwajibkanNya ataupun yang disunatkanNya, seperti membaca al-Qur’an, membaca hadits, mempelajari ilmu dan mengerjakan sembahyang sunat”.

    (ii) Manakala istilah zikir dalam maknanya yang khusus pula ialah: Melafazkan puji-pujian (membaca zikir) ke atas Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Zikir menurut istilah ini tertumpu kepada lafaz-lafaz zikir yang tertentu. Dari itu, perbuatan membaca al-Qur’an, berdoa dan sebagainya tidak termasuk dalam istilah zikir dalam pengertiannya yang khusus.

    Imam Ibn ‘Allan Rahimahullah berpendapat bahawa istilah khusus ini adalah maksud zikir yang hakiki.

    Manakala zikir dalam ertikata yang lain daripada maksud tersebut (seperti membaca al-Qur’an dan berdoa) hanyalah zikir dari segi majazi yakni kiasan sahaja.

    Menurut beliau, zikir itu adalah: “Lafaz kata-kata pujian dan mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, yang disyariatkan kepada kita untuk melafazkannya sebagai ibadat”.

    Lafaz zikir juga ada dipergunakan dalam al-Qur’an dan hadits merujuk kepada maksud atau perkara yang lain, seperti atas maksud: Al-Qur’an, Kitab-Kitab terdahulu, juga dinisbahkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, kebaikan dan kemuliaan, nasihat dan Lauh al-Mahfhuzh.

    Selain berzikir dengan lisan, zikir juga dilakukan dengan hati dengan bertafakkur pada rahsia kekuasaan, ciptaan dan hukum-hakam yang disyariatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Bahkan zikir juga dilakukan dengan anggota badan yang lain, iaitu dengan mempergunakannya untuk perkara-perkara ketaatan.

    LAFAZ ZIKRULLAH

    Terdapat dua jenis lafaz zikir, iaitu:

    (i) Zikir-zikir ma’tsur

    Iaitu zikir-zikir yang warid daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam al-Qur’an dan al-Hadits, yang diajarkan dan dianjurkan atau dibuat sendiri oleh Baginda.

    Antara zikir jenis ini ialah zikir menaiki kenderaan (Surah az-Zukhruf: 13,14), lafaz-lafaz Tahlil, Tasbih, Tahmid, Takbir, Hauqalah, Istirja‘, Basmalah, bacaan Salawat, Talbiyah, Hasbalah, doa ketika melihat hujan, bacaan ketika hendak tidur dan seumpamanya.

    (ii) Zikir-zikir tidak ma’tsur

    Iaitu zikir-zikir yang tidak warid daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam al-Qur’an mahupun al-Hadits, yang tidak ada diajarkan dan tidak ada dianjurkan atau dibuat sendiri oleh Baginda.

    Contohnya zikir-zikir yang diamalkan oleh para sahabat, para ulama dan sebagainya.

    Menurut syara‘, kedua-dua jenis zikir ini boleh diamalkan. Bagaimanapun, beramal dengan zikir yang ma’tsur adalah lebih afdhal daripada beramal dengan zikir yang direka oleh manusia biasa kerana dengan meng-amalkan zikir yang ma’tsur itu merupakan iqtida’ (mengikut atau mencontohi) Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.

    SARANAN MENGERJAKAN ZIKRULLAH

    Dalam al-Qur’an dan hadits, banyak sekali saranan untuk mengerjakan zikrullah, antaranya:

    (i) Daripada al-Qur’an,

    Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman dalam surah an-Nisa ayat 103 yang tafsirnya:

    “Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang maka ingatlah Allah ketika kamu berdiri dan duduk serta ketika kamu berbaring…”

    (Surah an-Nisa: 103)

    Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman lagi dalam surah al-Ahzab ayat 41 yang tafsirnya:

    “Wahai orang-orang yang beriman! Berzikirlah mengingat Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya”.

    (Surah al-Ahzab: 41)

    (ii) Daripada hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

    Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:

    “… Golongan al-Mufarridun telah pun mendahului.” Para sahabat lalu bertanya: “Dan siapakah golongan al-Mufarridun itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Kaum lelaki dan perempuan yang banyak berzikir kepada Allah.”

    (Hadits riwayat Muslim)

    Daripada Abu ad-Darda’ Radhiallahu ‘anhu, beliau meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:

    “Mahukah kamu aku beritahukan tentang amalan kamu yang paling baik dan paling suci di sisi Allah, serta paling meninggikan (kedudukan) pada darjat kalian dan ia lebih baik berbanding menginfakkan emas dan perak dan lebih baik berbanding kamu bertempur dengan musuh lalu kamu memenggal kepala mereka dan mereka memenggal kepala kamu?” Para sahabat menjawab: “Sudah tentu!” Lalu Baginda menjawab: “Zikrullah Ta‘ala.”

    Maka Mu‘az bin Jabal Radhiallahu ‘anhu berkata: “Tidak ada sesuatupun yang le-bih menyelamatkan daripada azab Allah Subhanahu wa Ta‘ala selain zikrullah”.

    (Hadits riwayat at-Tirmizi, Ibn Majah, Malik dan Ahmad)

    Bersambung….

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...