Seperti lelaki lain, pelakon dan pelawak Zizan Razak juga menyimpan keinginan untuk menamatkan zaman bujang bersama wanita dicintainya untuk membina sebuah keluarga bahagia.
Zizan atau Mohd Razizan Abdul Razak, 39, bagaimanapun berkata, dia sukar mencari pasangan untuk dijadikan isteri kerana tidak mempunyai masa berkenalan dan menjalinkan hubungan cinta disebabkan jadualnya yang padat dengan pelbagai aktiviti seni.
“Mestilah ada (keinginan berkahwin). Saya pun ada nafsu. Saya pun nak berkahwin macam orang lain tapi masuk sahaja tahun baharu, jadual saya penuh dengan pelbagai aktiviti sehingga hujung tahun.
“Saya tiada masa nak bercinta, kadang-kadang mak saya cakap nak (menantu) macam ini… tapi yang dia nak itu tak tahu ada dekat mana. Saya tiada masa mencari,” katanya kepada mStar.
Zizan berkongsi perkara itu ketika ditemui di Malam Gala Polis Evo 3 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Disebabkan kesibukannya itu, Zizan mendedahkan dia pernah meminta ibunya mencarikan calon isteri yang dirasakan sesuai dengannya apatah lagi usianya bakal mencecah 40 tahun.
Bagaimanapun kata Zizan, dia sebenarnya lebih selesa jika mencari sendiri calon isterinya kerana percaya perasaan suka dan cinta itu perlu berlaku secara semula jadi.
“Saya pernah minta ibu carikan tapi bila dia tunjuk gambar, saya kata nanti dulu sebab rasa janggal, berbeza kalau kita jumpa depan-depan,” ujarnya. – Agensi