LOS ANGELES, 11 OKT – Seorang maut, manakala 12 lagi terperangkap dalam sebuah lombong emas di Colorado kelmarin, lapor Xinhua.
Kejadian berlaku berhampiran dasar Lombong Emas Mollie Kathleen di Cripple Creek, Daerah Teller, yang kini dijadikan pusat tarikan pelancongan.
Menurut kenyataan Pejabat Syerif Daerah Teller, mereka yang terperangkap adalah sebahagian daripada kumpulan pelancong dan kejadian berpunca daripada kerosakan peralatan.
Syerif Daerah Teller, Jason Mikesell mengesahkan bahawa seorang individu maut dalam kejadian itu, manakala 12 lagi masih terperangkap di dalam terowong lombong.
Bagaimanapun, seramai 11 orang termasuk dua kanak-kanak berjaya diselamatkan.
Mikesell menegaskan bahawa kesemua 12 orang yang masih terperangkap berada dalam keadaan selamat.
Pasukan penyelamat sedang giat berusaha membawa mereka keluar pada malam kelmarin.
Pelbagai agensi, termasuk pasukan mencari dan menyelamat yang dilengkapi dengan peralatan berat turut membantu dalam usaha menyelamat.
Gabenor Colorado, Jared Polis berkata bahawa kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan pihak Daerah Teller untuk menyediakan bantuan dan sumber bagi operasi menyelamat.
“Kami akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk membantu menyelesaikan situasi ini dengan segera dan selamat,” kata polis dalam satu kenyataan.
Lombong terbabit merupakan destinasi pelancongan popular yang terletak berhampiran Cripple Creek, Colorado. – Bernama