RAIPUR, INDIA, 26 APRIL – Seramai 10 orang anggota polis dan pemandu mereka terbunuh di wilayah Chhattisgarh tengah India hari ini apabila kenderaan mereka terkena peranti letupan buatan sendiri, serangan yang didakwa oleh polis dilakukan oleh pemberontak Maois.
Pemberontakan Maois bermula sejak 1960an dan telah mengorbankan ribuan nyawa sejak beberapa dekad, meskipun keganasan semakin reda sejak beberapa tahun kebelakangan.
Kejadian hari ini merupakan yang paling teruk bagi pasukan keselamatan dalam tempoh lebih dua tahun dan mengorbankan polis simpanan yang kembali daripada misi untuk menyiasat pergerakan pemberontak di daerah pedalaman Dantewada.
“Mereka sedang pulang daripada operasi apabila kejadian letupan berlaku yang disasarkan ke arah kenderaan mereka,” menurut pegawai kanan polis Chhattisgarh, Vivekanand kepada AFP.
Rakaman yang disiarkan oleh penyiar NDTV menunjukkan sebuah kawah berukuran beberapa kaki ke dalam tanah dan pasukan keselamatan menyiasat bahagian kereta yang hancur akibat letupan.
Ketua Menteri Chhattisgarh, Bhupesh Baghel memberitahu wartawan bahawa serangan itu ‘sangat menyedihkan’ dan berjanji akan menggandakan usaha bagi memerangi kumpulan pemberontak.
“Ucapan takziah kepada keluarga-keluarga mangsa. Perjuangan ini berada di penghujung dan kami tidak akan mengasihani pemberontak serta kami akan membuat perancangan rapi untuk menghapuskan mereka.” – AFP