Monday, April 28, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    10 destinasi percutian mesra Muslim tahun 2018

    BANYAK perkara harus dinilai jika mahu melabel satu-satu destinasi sebagai ‘mesra Muslim’. Antaranya, kemudahan mendapat makanan halal, akses tempat tinggal dan sebagainya. Kini terdapat banyak pilihan negara dan bandar yang telah melebarkan pelancongan halalnya, seperti yang dikongsikan dalam laman stail.my, antaranya ialah:

    1. Kazan, Rusia

    Bandar Moscow dan St. Petersburg memang sudah terkenal untuk dikunjungi. Namun Bandar Kazan, di ibu kota Tatarstan memberikan mood baharu kepada pelancong yang inginkan suasana berbeza di Rusia. Walaupun kepercayaan utama kota ini adalah Kristian dan Kristian Ortodoks, namun anda boleh menghayati dan memahami sejarah seni bina Islam pada masjid yang terdapat di Kazan. Masjid Qolsharif adalah masjid yang terbesar di Eropah (selain Istanbul). Ia dibina semula pada tahun 1996 selepas Ivan The Terrible memusnahkannya pada tahun 1556.

    Masjid Qolsharif di Kazan, Rusia adalah masjid yang terbesar di Eropah selain Istanbul. Ia dibina semula pada tahun 1996 selepas Ivan The Terrible memusnahkannya pada tahun 1556. – Agensi
    Kawasan Bo Kaap, Cape Town, Afrika Selatan, kebanyakannya didiami oleh penganut Islam dan mempunyai sembilan buah masjid di sini. – Agensi

    2. Cape Town, Afrika Selatan

    Bandar ini dikategorikan sebagai ‘mesra muslim’. Ia mempunyai alam semula jadi yang indah dan menarik. Pantai-pantai popularnya adalah seperti Pantai Boulder, Camps Bay dan Pantai Muizenberg. Tarikan pelancong terkenal di sini adalah Table Mountain yang terletak di dalam Taman Negara Table Mountain. Kawasan Bo Kaap kebanyakannya didiami oleh warga Islam dan mempunyai sembilan buah masjid di sana.

    3. Kazakhstan

    Jarang kita dengar pilihan percutian orang tempatan kita ke negara ini. Kazakhstan mempunyai majoriti penduduk Islam, jadi anda pasti bebas mencari makanan halal dan ruang solat. Lokasi menarik untuk dilawati adalah Bukit Kok-Tobe yang menawarkan pemandangan Kota Almaty (ibu kota Kazakhstan), manakala Medeu pula menawarkan keseronokan dalam permainan luncur ski dan Tasik Almaty yang luas memberikan satu pemandangan yang indah dan luar biasa. Tarikan gunung yang dramatik, landskap dan padang pasir juga antara sebab pelancong berkunjung ke sini.

    Antara lokasi menarik untuk dilawati di Kazakhstan adalah Bukit Kok-Tobe yang mana anda dapat menyaksikan pemandangan Kota Almaty (ibu kota Kazakhstan). – Agensi
    Masjid dan Pusat Islam Kowloon adalah tempat tumpuan pengunjung Islam di Hong Kong. Menarik lagi, bukan sekadar pusat beribadat dan berkumpul untuk warga muslim, malah kantin di Pusat Islam ini juga terkenal dengan menu Dim Sum halal. – Agensi

    4. Hong Kong

    Masjid dan Pusat Islam Kowloon adalah tempat tumpuan pengunjung Islam di Hong Kong. Menarik lagi, bukan sekadar pusat beribadat dan tempat perkumpulan warga muslim, malah kantin di Pusat Islam ini juga terkenal dengan menu Dim Sum halalnya. Di kawasan Wan Chai juga terdapat banyak pilihan makanan halal yang disarankan untuk anda jika berkunjung ke Hong Kong.

    5. Maghribi

    Keindahan seni bina, awan larat dan budaya yang terdapat di kota ini tidak disangkal lagi. Maghribi mempunyai suhu empat musim dan sungguh indah di kala cahaya lantera menghiasi jalanan di waktu malam. Anda akan dapat merasakan pengaruh Eropah di sini kerana kedudukan dan sejarah lampaunya. Tempat yang harus anda lawati di sini ialah Saadian Tombs, Jardin Majorelle, Masjid dan Minaret (Menara) Koutoubia, Ben Youssef Madrasa, Istana El Badi, Jemaa El-Fnaa Square, Belly Dancing Dinner, menunggang unta, Hammam dan banyak lagi.

    Masjid dan Minaret (Menara) Koutoubia, Maghribi. – Agensi
    Lebih tiga juta penganut Islam di London, maka tiada masalah jika anda mahu bercuti di sana. – Agensi

    6. London

    Usah disangkal lagi dengan keramahan dan keterbukaan penduduk tempatan terhadap penduduk dan pelancong Muslim. Lebih tiga juta populasi umat Islam di London, maka tiada masalah jika anda mahu bercuti di sana. Selain melawat London, anda juga boleh melawat Istana Windsor atau Istana Buckingham dan mendalami sejarah susur galur diraja, antara yang tertua di dunia.

    7. Pulau Maldives

    Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa Pulau Maldives adalah sebuah negara Islam yang dihuni oleh seratus peratus populasi Islam yang terletak di Lautan Hindi.

    Pulau yang terkenal untuk dijadikan destinasi berbulan madu ini terletak di bawah negara India dan Sri Lanka. Terdapat hampir 2,000 pulau di sekelilingnya dan tidak semua boleh didiami. Pusat Islam Male antara yang terkenal di pulau ini. Anda boleh menikmati keanehan pantai glow-in-the-dark, skuba dan resort bajet hingga mewah. Menarik lagi, pemakaian bikini, meminum minuman beralkohol dan bercumbuan adalah ditegah. Begitu juga aktiviti memancing demi menjaga ekosistemnya.

    Pusat Islam Male adalah antara yang terkenal di Pulau Maldives. – Agensi
    Secara keseluruhannya, terdapat lebih daripada 160 peninggalan Muslim di seluruh Uzbekistan. Oleh itu, anda boleh mendalami ilmu dan sejarahnya di sini. – Agensi

    8. Uzbekistan

    Uzbekistan adalah tempat untuk dikunjungi jika anda berminat untuk meneroka Sufisme, yang mana puak Islam memberi tumpuan kepada pemurnian diri dan batin. Uzbekistan penuh dengan tempat bersejarah seperti Sheihantaur dan makam Zangiata di Tashkent. Secara keseluruhannya, terdapat lebih daripada 160 peninggalan Muslim di seluruh Uzbekistan. Oleh itu, anda boleh mendalami ilmu dan sejarahnya di sini.

    9. Sepanyol

    Pernah ditakluki Islam dahulunya, sehingga kini Sepanyol kekal sebagai negara yang ‘mesra Muslim’ di Eropah.

    Negara ini memilih untuk mengekalkan banyak elemen Islamnya sama ada dalam seni dan kebudayaannya, yang mana tertanam dalam tradisi Sepanyol kontemporari. Kerajaan Sepanyol mula menyedari kepentingan pelancong Muslim di sana sehingga mereka mula mengembangkan sektor pelancongan halalnya.

    Walaupun pernah ditakluki Islam satu ketika dahulu, Sepanyol kekal sebagai negara yang ‘mesra Muslim’ di Eropah dan memilih untuk mengekalkan banyak elemen Islam sama ada dalam seni mahupun kebudayaannya. – Agensi

    10. Australia

    Terdapat hampir satu juta populasi penduduk Islam di Australia. Kebebasan beragama dan kemudahan awam cukup sempurna bagi penganut Islam di sana. Pengaruh Islam hadir daripada pendatang asing, yang lama menetap di sana dan melalui perkahwinan. Kini kebanyakan orang Arab tempatan memiliki tanah untuk perusahaan buah-buahan dan makanan. Anda boleh saja mengunjungi Kota Melbourne yang penuh dengan sejarah kolonial Victoria dan kemajuan bandar hijaunya. Atau jika mahukan kota yang tenang, anda boleh pergi ke Perth. Mungkin anda tidak mahu tinggal di luar bandar, nikmati neon malam di Kota Sydney dan Brisbane.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda