Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    11 maut diserbu puak pemisah di Pakistan

    QUETTA, 14 APRIL – Lelaki bersenjata membunuh 11 orang di Pakistan dengan polis mencari militan pemisah yang disyaki, menurut kenyataan rasmi kelmarin.

    Polis berkata enam lelaki bersenjata menahan sebuah bas berhampiran bandar Nushki di wilayah Balochistan, memeriksa kad pengenalan dan menculik sembilan pekerja dari wilayah timur Punjabi pada pukul 8 malam Jumaat lepas.

    Mayat mereka kemudian ditemui dua kilometer dari lebuh raya setelah ‘ditembak pada jarak dekat’, beritahu pegawai kanan polis tempatan, Allah Bakhsh kepada AFP.

    Penyerang yang sama kemudian melepaskan tembakan ke arah kereta milik seorang ahli parlimen wilayah. Namun dia tidak berada di dalam kenderaan berkenaan, tetapi dua orang maut apabila kereta itu terbabas ke dalam parit.

    Bakhsh berkata pemburuan sedang dijalankan dan penyerang itu ‘dengan jelas menggunakan modus operandi pemisah Baloch’, yang telah melancarkan pemberontakan selama berdekad-dekad menyasarkan pasukan keselamatan dan pengaruh luar di rantau itu.

    Paramedik membawa keranda pekerja asing yang terbunuh di sebuah hospital di Quetta pada 13 April 2024, selepas mereka dibunuh oleh lelaki bersenjata berhampiran bandar Naushki, Pakistan. – AFP

    Saksi, Tahir Hussain memberitahu AFP, ‘sekumpulan lelaki bersenjata menyekat lebuh raya, memaksa bas berhenti’.

    “Mereka bertanya siapa antara kami adalah Punjabi,” kata lelaki berusia 50 tahun itu.

    “Mereka yang bersama keluarga dikecualikan dan membawa yang lain bersama-sama mereka dengan senjata diacukan kepada mereka,” tambahnya.

    “Selepas seketika, kami terdengar bunyi tembakan dari jauh.”

    Pegawai kanan pentadbiran daerah Naushki, Habibullah Musakhail memberitahu AFP ‘polis dan pasukan separa tentera mula menggeledah kawasan itu untuk menangkap penyerang tetapi penyerang telah melarikan diri,” katanya yang turut mengesahkan jumlah kematian.

    Seorang lagi saksi, Zahid Imran, 46, memberitahu AFP apabila lelaki bersenjata menaiki bas mereka memarahi penumpang yang diculik, berkata, “Kamu orang Punjabi bunuh anak-anak kami, bangun dan ikut kami.”

    Perdana Menteri, Shehbaz Sharif menyifatkan serangan itu sebagai ‘insiden keganasan’ dalam satu kenyataan dan berkata ‘pesalah akan dihukum’. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...