Saturday, October 19, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    1,100 maut akibat mpox di seluruh Afrika

    NAIROBI, 18 OKT – Kira-kira 1,100 orang di seluruh Afrika telah meninggal dunia akibat mpox, kata agensi kesihatan Kesatuan Afrika kelmarin, memberikan amaran bahawa wabak itu ‘di luar kawalan’ tanpa tindakan lanjut.

    Secara keseluruhannya, 42,000 kes telah direkodkan di Afrika sejak Januari, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC Afrika), dengan kes pertama kali dilaporkan di Zambia dan Zimbabwe.

    Ia menjadikan 18 negara Afrika di mana mpox telah dikesan secara rasmi tahun ini, katanya.

    “Mpox sedang berada di luar kawalan jika kita tidak bertindak,” kata ketua CDC Afrika, Jean Kaseya pada taklimat media dalam talian.

    “Saya sangat berdukacita untuk memaklumkan kita kini mempunyai lebih daripada 1,000 kematian akibat mpox, seperti yang awda lihat minggu ini, minggu ke-40, kami telah melaporkan sejumlah 1,100 kematian.”

    Seorang lelaki menerima vaksinasi mpox, di hospital Besar, di Goma, Republik Demokratik Congo pada 5 Oktober. – AP

    Majoriti kematian berlaku di Republik Demokratik Congo, pusat wabak itu, yang melancarkan program vaksinasi awal bulan ini.

    Tetapi Kaseya berkata bahawa di seluruh benua masih terdapat ‘lebih banyak kes baharu minggu ke minggu’.

    “Sebanyak 18 negara adalah terlalu banyak, kita tidak boleh terus seperti itu,” katanya.

    Kaseya sekali lagi menggesa rakan kongsi antarabangsa untuk meningkatkan usaha dan menyeru mereka untuk segera menyalurkan dana yang dijanjikan untuk memerangi mpox.

    “Kami sekarang mahu melihat tindakan konkrit di lapangan untuk menghentikan wabak ini,” katanya.

    Mpox, sebelum ini dikenali sebagai monkeypox, disebabkan oleh virus yang disebarkan kepada manusia oleh haiwan yang dijangkiti tetapi juga boleh disebarkan dari manusia ke manusia melalui sentuhan fizikal yang rapat.

    Ia menyebabkan demam, sakit otot dan lesi kulit besar seperti bisul, dan boleh membawa maut. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda