Saturday, October 12, 2024
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    130 pelajar JIS diperkenalkan bebola terumbu

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Poni Divers dan Poni Foundation baru-baru ini berjaya menganjurkan sesi pemasangan bebola terumbu terbesar di Brunei setakat ini di bawah Program Bebola Terumbu Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS).

    Berbeza dengan program tahun lepas, yang melibatkan Kelab Menyelam JIS, inisiatif tahun ini melibatkan 104 pelajar Tahun 7 sebagai sebahagian daripada kelas geografi mereka untuk mencipta 24 bebola karang.

    Program Bebola Terumbu JIS tahun ini dimulakan dengan ceramah pemuliharaan marin yang disampaikan oleh Pengurus Pemasaran dan Acara di Poni Divers, Donna Baltazar.

    Dihadiri oleh lebih 130 pelajar dari Tahun 7 dan Tahun 10, sesi itu bertujuan untuk mendidik peserta muda tentang ancaman yang dihadapi terumbu karang dan strategi berkesan bagi mengurangkan risiko berkenaan. Ia memperkenalkan bebola terumbu sebagai struktur inovatif yang direka untuk meningkatkan habitat marin dan biodiversiti.

    Dalam ceramah, Donna menekankan bahawa, “Lautan membekalkan oksigen secara senyap-senyap kepada bumi. Amat penting untuk kita semua berasa bermotivasi bagi mengambil langkah proaktif untuk memuliharanya!”

    Para pelajar JIS yang terlibat bergambar ramai dengan bebola terumbu. – GAMBAR SERAHAN PONI DIVERS
    GAMBAR SERAHAN PONI DIVERS

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Poni Divers dan Poni Foundation, Awang Mohd Tahsin Wong Abdullah, mengetuai sesi pertama di mana pelajar menjawab soalan tentang laut berdasarkan apa yang dipelajari mereka semasa ceramah pemuliharaan marin. Para pelajar mempamerkan semangat dan keghairahan yang luar biasa untuk mendalami ilmu tentang lautan dan bebola terumbu.

    Sesi tersebut diakhiri dengan kuiz dalam talian yang bersifat interaktif, menawarkan pelajar JIS pandangan berharga tentang kepentingan memulihara biodiversiti marin Brunei.

    Sepanjang proses yang melibatkan pemasangan dan pembuatan bebola terumbu, pelajar menimba ilmu tentang sains pertumbuhan karang dan belajar cara mencipta campuran konkrit dengan pH neutral yang menyokong pembiakan karang semula jadi pada bebola terumbu. Pada akhir program, setiap kumpulan dengan bangganya menamakan bebola terumbu mereka, memahami impak kekal struktur itu sebagai habitat marin selama lebih 500 tahun, bagaimana ia dapat menyumbang untuk melindungi karang lautan.

    Berikutan sesi pemasangan bebola terumbu terbesar setakat ini dengan ciptaan 24 bebola terumbu dalam masa dua hari, sesi penemuan yang dinanti-nantikan dijadualkan pada 14 September nanti, di mana pelajar JIS akan menggunakan bebola karang yang dihasilkan mereka. Acara itu menandakan kemuncak usaha mereka dalam Program Bebola Terumbu JIS.

    Ia merupakan peluang yang penting bagi pelajar untuk menyaksikan sendiri bagaimana sumbangan mereka akan meningkatkan habitat marin dan mempromosikan biodiversiti di perairan pantai Brunei.

    Sejajar dengan Minggu Lautan Brunei, inisiatif itu berfungsi sebagai platform penting untuk meningkatkan kesedaran tentang isu pemuliharaan marin serta memupuk kerjasama dalam kalangan institusi pendidikan dan organisasi alam sekitar.

    Program Bebola Terumbu Brunei, sebuah inisiatif pemuliharaan marin oleh Projek LAUT Brunei (Menjaga Khazanah Bawah Air Brunei) di bawah Poni Foundation, bertujuan untuk membangunkan reka bentuk terumbu tiruan yang mampan, kos efektif dan kaedah penggunaan bagi pemulihan terumbu karang dan habitat marin jangka panjang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda