MEXICO, 31 DIS – Pihak berkuasa Mexico mengesahkan penemuan 31 mayat dari kubur rahsia di sebuah negeri di tenggara negara itu yang sering dibelenggu keganasan kartel sejak operasi menggali kubur tidak sah dimulakan pada hujung minggu lalu.
Gabenor Chiapas, Eduardo Ramirez, pada hujung minggu mengumumkan operasi untuk memulihkan kestabilan di Frailesca, sebuah kawasan pertanian berhampiran Guatemala yang sering menjadi lokasi pertempuran sengit antara kartel dadah yang bersaing.
“Sehingga kelmarin, kami telah menemui 25 kubur rahsia, dengan 31 mayat ditemui, 29 daripadanya lelaki dan dua wanita,” kata Jorge Luis Llaven, pendakwa negeri Chiapas, dalam satu kenyataan.
Kerajaan negeri Chiapas pada mulanya mengumumkan penemuan 15 mayat pada Sabtu lalu. Dua mayat ditemui pada Ahad dan 14 ditemui kelmarin.
Pendakwa negeri itu berkata pejabatnya bersama sekretariat keselamatan negeri akan meneruskan siasatan sehingga mereka menemui ‘setiap mayat individu yang telah dilaporkan hilang’.
Keganasan yang berkaitan dengan kartel di Mexico bertumpu di sepanjang laluan penyeludupan dadah, sempadan dan pintu masuk utama negara.
Negeri Chiapas, yang terletak di sempadan selatan Mexico, telah digambarkan oleh kumpulan pemikir InSight Crime sebagai ‘hab penyeludupan utama dadah dan pendatang’. – AFP