Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    17 anak damit 1 Muharam diraikan

    Oleh Yusrin Junaidi & Daniel Lim

    BANDAR SERI BEGAWAN/BELAIT, 9 DIS – Seramai 17 anak damit yang dilahirkan pada 1 Muharam 1443H di seluruh negara diraikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Kemajuan Syiar Islam pada Majlis Pemberian Hadiah kepada Anak-anak Damit yang Lahir pada Awal Tahun Hijrah 1443, di Dewan Multaqa, Lantai Bawah, Bangunan Tambahan KHEU.

    Hadir selalu tetamu khas ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.

    Pemberian hadiah berupa barang keperluan dan buku agama daripada KHEU disempurnakan oleh tetamu-tetamu khas majlis kepada bapa anak-anak damit yang diraikan.

    Sementara itu, turut menyampaikan sumbangan ialah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd dan anak-anak syarikatnya.

    Sumbangan daripada Perbadanan TAIB disampaikan oleh Pengarah Urusannya, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim berupa akaun simpanan dan keperluan anak damit. Manakala sumbangan daripada Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd dan anak-anak syarikatnya disampaikan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Shahrildin bin Pehin Orang Kaya Lela Utama Dato Paduka Haji Jaya berupa tabung simpanan dan hadiah anak damit.

    Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama ketika menghadiri majlis penyampaian hadiah tersebut di Dewan Multaqa, Lantai Bawah, Bangunan Tambahan KHEU.
    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang bapa anak damit yang diraikan.
    Wakil daripada Perbadanan TAIB ketika menyampaikan hadiah pada majlis tersebut.
    Haji Mohd Rosli ketika menyampaikan hadiah kepada bapa salah seorang anak damit yang baru dilahirkan.
    Setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama ketika menghadiri majlis penyampaian hadiah di Dewan Serbaguna Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar Ali Saifuddien.

    Selain itu, buat pertama kalinya dan bersempena dengan 20 tahun pengendalian majlis ini, pihak jawatankuasa juga telah menjemput hadir anak-anak yang lahir pada 1 Muharam 1422H yang mana mereka adalah anak-anak damit yang pertama diraikan pada majlis yang seumpama ini.

    Sementara itu, dua orang anak damit turut diraikan di Daerah Belait pada majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Kuala Belait.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohd Rosli bin Haji Ibrahim yang telah dialu-alukan oleh Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin.

    Majlis yang turut dikendalikan oleh KHEU melalui Bahagian Kemajuan Syiar Islam itu telah didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah sebelum penyampaian cenderahati kepada bapa anak-anak damit yang diraikan.

    Cenderahati terdiri daripada pelbagai barangan keperluan dan peralatan anak-anak damit bernilai $200 serta buku-buku agama daripada KHEU.

    Salah seorang yang menerima hadiah tersebut ialah Awang Erman bin Haji Omar dan Pengiran Yusrida binti Pengiran Ismail, ibu bapa kepada anak damit yang dilahirkan pada pukul 10:23 pagi dengan berat 2.73kg.

    Awang Erman melahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga atas cenderahati yang diberikan itu dan sebagai anak ketujuh dalam keluarganya, beliau juga berbesar hati kerana kelahiran anaknya berjalan dengan lancar memandangkan situasi semasa yang berlaku sejak beberapa bulan lalu.

    Sementara itu, anak kepada Awang Muhd Zamrul Nizam bin Abdullah Chong dan Dayang Lusina Al-Islam binti Mohd Zamrie seberat 2.1kg selamat dilahirkan pada pukul 5:08 petang turut menerima hadiah pada majlis itu.

    Menyampaikan hadiah pada majlis itu ialah wakil TAIB dan Takaful Brunei Am Sdn Bhd.

    Perbadanan TAIB memberikan akaun simpanan bernilai $200 dan barangan keperluan anak damit, manakala itu, Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd memberikan simpanan bernilai $250 dan hadiah untuk anak-anak damit.

    Kelahiran anak-anak damit pada awal Tahun Hijrah diraikan bagi memperingati kedatangan dan hari bersejarah dalam Islam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda