Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    17 wanita tamat latihan keusahawanan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Seramai 17 orang usahawan wanita tempatan telah berjaya menamatkan Akademi Usahawan Wanita Brunei (AWE), program enam bulan yang dibiayai oleh Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam dan difasilitasi oleh Darussalam Enterprise (DARe).

    Mereka telah diraikan dalam majlis tamat pengajian yang diadakan sebagai sebahagian daripada Festival PMKS Brunei 2023 di Dewan BRIDEX, Jerudong, hari ini.

    Majlis turut menyaksikan penganugerahan tiga perniagaan terbaik yang menerima AS$3,000 setiap satu dalam seed funding.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) dan DARe.

    Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn McClelland, para peserta AWE, dan perwakilan dari Kedutaan AS dan DARe.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan PYT Caryn McClelland ketika menyampaikan anugerah kepada salah satu perniagaan terbaik.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bergambar ramai bersama para peserta yang diraikan.

    PYT Caryn McClelland berkata graduan tersebut dipilih daripada kumpulan pemohon seramai 164 orang yang menunjukkan betapa besarnya dorongan keusahawanan yang dimiliki wanita Brunei.

    Kohort itu mempunyai pelbagai set minat perniagaan termasuk makanan, pakaian, pembungkusan, pertanian dan kecergasan, dan lain-lain.

    “Idea-idea inovatif dan semangat keusahawanan mereka menunjukkan mengapa kami sangat percaya meneruskan program itu, yang menggabungkan dua matlamat utama kami iaitu memperkasakan wanita dan membantu Brunei dalam usaha mempelbagaikan ekonomi melalui keusahawanan,” ujarnya.

    Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif LKEB dan DARe, Daniel Leong yang antara lain menyatakan sebahagian kohort pertama program telah menyertai Sidang Kemuncak AWE 2023 di Kuala Lumpur.

    Sidang kemuncak itu membolehkan para peserta bertukar-tukar pengetahuan, amalan terbaik dan mengembangkan kapasiti dan rangkaian mereka dengan 200 usahawan wanita yang berjaya, jelasnya.

    Menurut kenyataan DARe, bagi menentukan tiga perniagaan teratas, sebanyak 17 perniagaan telah dikemukakan kepada panel hakim yang terdiri daripada Pegawai Hal Ehwal Awam Kedutaan AS, Jeff Barrus; Penasihat Perniagaan Utama Shell LiveWIRE Brunei, Awang Afiq Mohammed; Ketua Pegawai Eksekutif Nextacloud, Agus Muslim; Pengasas Roots, Dilys Chai dan Pengasas Tasanne Fast Food, Jia Chee Lee.

    Terdahulu, sesi pembentangan pitching telah diadakan di Auditorium Utama Bangunan Reka Bentuk & Teknologi, Anggerek Desa pada 16 Februari lalu.

    AWE telah dilancarkan di Brunei pada Oktober 2021 pada hujung minggu sebelum Brunei Darussalam mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN bagi menyokong beberapa matlamat sosioekonomi ASEAN.

    Program tajaan penuh itu bermula dengan 30 peserta dipilih daripada kumpulan 183 pemohon. Peserta melengkapkan 13 modul perniagaan melalui platform latihan dalam talian yang digelar DreamBuilder.

    DreamBuilder telah direka oleh Sekolah Pengurusan Global Thunderbird, Arizona State University dan syarikat perlombongan Freeport-McMoRan untuk membimbing bakal usahawan langkah demi langkah dalam memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka melalui kandungan interaktif dan praktikal yang merangkumi peralatan dan templat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...