Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    1,902 graduan IBTE diraikan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Seramai 1,902 graduan yang mengikuti pelbagai program latihan di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) diraikan dalam Majlis Konvokesyen IBTE ke-31 hari ini.

    Daripada jumlah itu, 62 orang graduan terdiri daripada pelatih Akademi TVET, 70 orang graduan peringkat Diploma, 972 orang graduan peringkat Sijil Tertinggi Kebangsaan Pendidikan Teknik (HNTec), 380 orang graduan peringkat Sijil Kebangsaan Pendidikan Teknik (NTec) dan 418 orang graduan peringkat Sijil Kemahiran Kelayakan Perindustrian (ISQ).

    Majlis konvokesyen IBTE yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas itu dibahagikan kepada dua sesi, iaitu pagi dan petang.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian sijil kepada para graduan bagi sesi pagi ialah Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah selaku Pengerusi Lembaga Pengelola IBTE.

    Terdahulu penyampaian sijil, Pengarah Pendidikan Teknik dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengongsikan beberapa pencapaian yang diraih oleh IBTE sepanjang tahun ini.

    ATAS & BAWAH: Haji Mohamad Azmi menyempurnakan penyampaian sijil kepada salah seorang graduan pada sebelah pagi. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Dr Haji Azman menyempurnakan penyampaian sijil kepada salah seorang graduan pada sebelah petang. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    “Pencapaian yang diperolehi itu sangat membanggakan dan ia tidak mungkin akan dapat diperolehi sekiranya tidak ada usaha, pengorbanan serta kerjasama erat dan padu dari semua pihak.

    “Penglibatan dan kolaborasi antara semua pihak ini menunjukkan semangat kerjasama warga IBTE, selaras dengan nilai-nilai teras IBTE,” tambahnya.

    Majlis itu bukan saja menyaksikan penyampaian sijil kepada graduan dari Akademi TVET, peringkat Diploma dan peringkat HNTec, malah turut menyaksikan tetamu kehormat menyampaikan Anugerah Pelatih Guru Terbaik, Anugerah Kecemerlangan Akademik, Anugerah Kecemerlangan STARS dan Anugerah Duta China kepada graduan-graduan yang terpilih.

    Anugerah Duta China diberikan khusus bagi pelajar yang mengikuti program kerjasama antara Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam dengan Kementerian Pendidikan, yang meliputi pelajar dari lima buah institusi pendidikan tinggi termasuk IBTE.

    Antara tujuan anugerah itu diperkenalkan adalah untuk mendorong dan menggalakkan lebih ramai lagi pelajar tempatan bagi terlibat sama khususnya dalam kerjasama dua hala, di bawah rangka kerja Belt and Road Initiative.

    Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyuntik semangat inspirasi belia berbakat yang mempunyai prestasi cemerlang, sentiasa bergiat aktif dalam menyumbang pembangunan negara serta menggalakkan kerjasama praktikal kedua-dua buah negara.

    Majlis diteruskan lagi pada sebelah petang dengan penyampaian sijil kepada seramai 798 orang graduan peringkat NTec dan ISQ, diikuti dengan penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik kepada empat orang penerima.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan sijil kepada graduan yang diraikan ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...