Wednesday, May 1, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    2 ditahan jual beli diesel bersubsidi

    SUNGAI PETANI, 16 APRIL – Polis menahan dua lelaki ketika sedang dipercayai melakukan urusan jual beli minyak diesel bersubsidi di sebuah premis di Bedong dekat sini, hari ini.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supt Anuar Abd Rahman @ Abd Rahim berkata, ketika ditahan kedua-duanya yang berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun cuba memindahkan diesel terbabit dari sebuah treler ke dalam dua lori.

    “Serbuan di premis itu dijalankan bermula 10:50 pagi hingga 1:40 tengah hari selepas bertindak hasil maklumat dan risikan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda,” katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda hari ini.

    Beliau berkata siasatan lanjut mendapati treler itu dipercayai milik sebuah persatuan nelayan yang dipandu lelaki tempatan berusia lewat 30an.

    “Cecair disyaki diesel dengan anggaran isipadu 800 liter dan 2,100 liter masing-masing ditemukan di dalam dua lori, manakala 27,000 liter lagi dijumpai di dalam treler.

    “Kesemua 29,900 liter diesel yang dirampas dianggar bernilai RM44,991.84,” katanya.

    Anuar berkata diesel terbabit dipercayai diambil dari sebuah depoh minyak di kawasan Perai, Pulau Pinang bagi kegunaan nelayan di kawasan nelayan di daerah ini.

    “Dalam perjalanan, pemandu terbabit dipercayai singgah di lokasi di Bedong untuk menjual sedikit diesel bersubsidi dengan bayaran RM250 bagi setiap 200 liter,” katanya.

    Beliau berkata kes disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Kuala Muda mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan dan akan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka tambah 49 zon pelancongan

    COLOMBO, 30 APRIL - Kerajaan Sri Lanka merancang untuk menambah 49 lokasi tambahan sebagai zon pelancongan rasmi, kata Menteri Pelancongan, Diana Gamage di sini...