Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    2 kena kompaun tak papar harga, jual mahal

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JPES

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Dua buah syarikat perniagaan telah dikeluarkan kompaun kerana melanggar Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya melalui penguatkuasaan rutin yang dijalankan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPES, kesalahan berkenaan adalah menjual susu tepung formula anak damit melebihi harga yang ditetapkan dan tidak memaparkan tanda harga bagi sebahagian barangan yang dijual di dalam premis perniagaan. Sehubungan itu, kedua-dua buah syarikat perniagaan berkenaan telah dikenakan kompaun sebanyak $500.

    Manakala itu, pada minggu pertama Oktober 2022, JPES telah mengeluarkan empat notis amaran kepada empat buah syarikat perniagaan atas kesalahan-kesalahan tertentu iaitu tidak memaparkan tanda harga pada sebahagian barangan yang dijual dan memaparkan tanda harga yang mengelirukan iaitu paparan tanda harga tidak selaras dengan harga yang tercatat dalam sistem pembayaran.

    JPES menyarankan bagi sebarang aduan berkaitan dengan Akta Kawalan Harga, Penggal 142, para pengguna boleh menyalurkan aduan secara rasmi melalui medium saluran yang telah disediakan dan mudah diakses seperti aplikasi mudah alih PenggunaBijak, hotline Talian Darussalam 123 dan e-mel, aduanpengguna@jpes.gov.bn.

    Aduan perlu dilengkapkan dengan menyertakan dokumen sokongan seperti resit pembayaran dan gambar sebagai bukti.

    Penyaluran aduan yang lengkap secara rasmi adalah penting kerana ia akan membantu pihak JPES dalam melaksanakan tindakan lanjut serta membuat sebarang susulan dengan pihak pengadu.

    Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai akta berkenaan boleh mendapatkannya melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak yang boleh dimuat turun melalui platform App Store dan Google Play, atau laman sesawang JPES di www.deps.gov.bn.

    Pegawai penguatkuasaan JPES semasa memeriksa bahagian susu tin di sebuah syarikat perniagaan.
    Pegawai penguat kuasa JPES semasa menjalankan pemeriksaan di salah sebuah syarikat perniagaan.
    Antara barang yang tidak mempunyai tanda harga atau tanda harga mengelirukan semasa pemeriksaan pegawai penguat kuasa JPES di sebuah syarikat perniagaan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...