Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Dua lelaki warga tempatan yang diburu kerana dipercayai bersubahat dalam kegiatan curi bersiri telah berjaya diberkas di sebuah rumah sewa, kawasan Kampung Panchur Murai, pada 13 Disember lalu.
Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), kedua-dua suspek adalah warganegara tempatan berumur 33 dan 39 tahun serta tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
Penahanan kedua-dua suspek adalah hasil kerjasama tindakan daripada Unit Siasatan Pecah Rumah dan Curi Kereta, Jabatan Siasatan Jenayah bersama keanggotaan detektif Balai Polis Limau Manis dan Sengkurong, Daerah Polis Brunei dan Muara serta bantuan risikan pemantauan Jabatan Perisikan Jenayah.
Hasil siasatan melalui penahanan suspek berkenaan, pihak polis telah berjaya menyelesaikan sebanyak 21 kes serta penemuan sejumlah barangan rampasan dipercayai barangan curi.
Tahanan reman kedua-dua suspek telah dilanjutkan sehingga 23 Disember depan untuk memberi ruang kepada pihak penyiasat mendapatkan lagi maklumat lanjut terhadap kegiatan-kegiatan curi sebelum ini dan juga mendapatkan kembali barangan yang masih dalam pencarian.
Kenyataan menegaskan, PPDB akan sentiasa berusaha dalam menjalankan pemantauan, menjejak dan mengesan sebarang kegiatan-kegiatan jenayah di samping membuat penangkapan ke atas penjenayah-penjenayah yang berhasrat untuk mengganggu ketenteraman dan kesejahteraan di Negara Brunei Darussalam.