Thursday, May 9, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    200 pelajar dari UBD, PB dan IBTE terima biasiswa, CoE

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 FEB – Hengyi Industries Sdn Bhd (Hengyi) telah mengadakan Majlis Penandatanganan Biasiswa dengan Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Tawaran Pekerjaan Bersyarat (CoE) dengan Politeknik Brunei (PB) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) bagi menunjukkan komitmen syarikat untuk menghasilkan rakyat Brunei yang berkemahiran dalam bidang industri petrokimia.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib.

    Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Xiao Jianguo, Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Sabli.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi, Chen Lian Cai.

    Semasa majlis itu, Hajah Farida, Dr Hazri, Dr Haji Mohd Zamri dan Chen Lian Cai telah menyaksikan 20 pelajar UBD menandatangani perjanjian biasiswa.

    Hajah Farida menyaksikan para pelajar menandatangani perjanjian. – GAMBAR SERAHAN HENGYI
    Para pelajar bergambar ramai bersama tetamu kehormat dan tetamu khas. – GAMBAR SERAHAN HENGYI

    Para pelajar mewakili kumpulan ke-11 menerima biasiswa di bawah Program Biasiswa Kejuruteraan Kimia dan Proses Bersama, usaha kerjasama antara Hengyi, UBD dan Universiti Zhejiang (ZJU). Itu menjadikan jumlah keseluruhan 187 biasiswa yang diberikan kepada pelajar.

    Sebagai sebahagian daripada biasiswa, pelajar akan menjalani empat tahun pengajian, terdiri daripada dua tahun pengajian akademik dengan UBD, satu setengah tahun pengajian akademik dengan ZJU dan enam bulan latihan sambil bekerja dengan Hengyi.

    Acara diteruskan dengan penyampaian CoE kepada pelajar pengambilan 2022 dari PB dan IBTE di bawah program kerjasama bersama 145 pelajar PB dan 35 pelajar IBTE dengan disaksikan oleh, Pemangku Pengarah PB, Lim Kian Boon dan Dr Haji Mohd Zamri.

    Program kerjasama tersebut, yang diwujudkan dengan Hengyi Industries, PB, IBTE dan Universiti Teknologi Vokasional Petrokimia Lanzhou (LPUVT), menawarkan pelbagai program kepada pelajar PB dan IBTE.

    Program tersebut terdiri daripada kursus tiga tahun di mana pelajar akan menjalani dua tahun pengajian di institusi masing-masing dan setahun pembelajaran berasaskan industri atau latihan sambil kerja dengan Hengyi di Pulau Muara Besar.

    Sejak penubuhan program itu, sebanyak 473 CoE telah dianugerahkan kepada pelajar PB dan IBTE.

    Program biasiswa dan kerjasama bersama adalah sebahagian daripada Hengyi Future-Ready, satu inisiatif untuk memupuk belia Brunei menjadi individu berkemahiran tinggi, membawa negara lebih dekat dengan pencapaian Wawasan Brunei 2035. Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, Hengyi juga akan menawarkan pelajar untuk bekerja sepenuh masa di Hengyi setelah berjaya menamatkan pengajian di bawah program tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Albanese tolak hujah China dakwa Australia bersalah

    MELBOURNE, 8 MEI - Perdana Menteri Australia Anthony Albanese hari ini menolak hujah China bahawa Australia bertanggungjawab atas pertemuan berbahaya pada hujung minggu antara...