Monday, May 20, 2024
30.8 C
Brunei

    -

    5 ahli PPPBD berlepas ke Singapura

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 FEB – Lima ahli Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) hari ini berlepas ke Singapura bagi menghadiri perhimpunan World Thinking Day 2024 with Girl Guides Singapore (GGS) bermula hari ini hingga 18 Februari.

    Mengetuai rombongan ialah Setiausaha Peralatan PPPBD, Dayang Nurul Wafaa’ binti Awang Mohammad dan turut disertai oleh empat ahli Pemimpin Muda dan Pandu Puteri Renjer iaitu Dayang Sakinah binti Fathurrahman dari Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), Dayang Maisarah Safaa’ binti Mazini dari Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB), Dayang Nurul Ain binti Haji Yahya dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Dayang Nur Rifqah Syazana binti Haji Muhammad Kamal Shahrum dari Sekolah Menengah Tanjong Maya.

    Menurut kenyataan yang diterima hari ini, persidangan anjuran GGS itu akan disertai oleh empat buah negara dari rantau Asia Pasifik termasuk Negara Brunei Darussalam atas jemputan GGS.

    Antara objektif utama perhimpunan itu adalah untuk bertukar-tukar budaya, meneroka dan mempelajari sejarah dan budaya Singapura melalui perbincangan, aktiviti luar dan program yang mencabar, di samping, membina kemahiran diri serta mempromosi persahabatan dalam kalangan peserta dan persatuan yang terlibat.

    Antara pengisian perhimpunan termasuk sesi perbincangan berkenaan aktiviti-aktiviti bersangkut Sambutan World Thinking Day 2024, pertunjukan dan seni persembahan kebudayaan serta pameran, lawatan luar dan kongsi sama berkenaan aktiviti-aktiviti kepanduan di negara masing-masing.

    World Thinking Day disambut pada setiap tanggal 22 Februari bagi meraikan tertubuhnya gerakan kepanduan yang membawa tema tahun ini Our World, Our Thriving Future.

    Ahli PPPBD membaca doa sebelum berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lai Ching-te dilantik sebagai presiden Taiwan

    TAIPEI, 20 MEI - Lai Ching-te mengangkat sumpah sebagai presiden baharu Taiwan pada Isnin, memulakan penggal di mana beliau dijangka meneruskan dasar kemerdekaan de...