Monday, April 28, 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    204 penyuntik vaksin positif COVID-19

    PUTRAJAYA, 13 JULAI – Pusat pemberian vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam ditutup hari ini setelah 204 kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan petugas PPV berkenaan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

    Susulan penutupan sehari PPV itu bagi tujuan sanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sebanyak 6,000 janji temu dijadualkan semula, katanya.

    Menurutnya, kesemua 453 petugas PPV berkenaan menjalani ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) secara beramai-ramai pada 10 Julai lepas dan keputusan ujian saringan menunjukkan kesemua yang positif mempunyai nilai kitaran ambang (CT) lebih daripada 35 iaitu beban virus (viral load) yang rendah.

    Menurut Khairy, 88 peratus atau kira-kira 400 petugas di PPV itu telah divaksinasi, manakala baki 12 peratus sukarelawan belum divaksin mungkin disebabkan penggiliran petugas baharu, dan kemungkinan mereka yang positif itu mempunyai beban virus yang rendah kerana kebanyakan mereka telah divaksinasi.

    “Jangkitan di PPV IDCC merupakan kes pertama melibatkan PPV. Berikutan kes COVID-19 yang tinggi di Lembah Klang, sukar untuk kami pastikan sama ada sesuatu jangkitan itu berlaku di IDCC atau di tempat lain,” katanya dalam sidang media di sini hari ini berkenaan situasi PPV IDCC.

    Khairy menyarankan individu yang hadir janji temu vaksin di PPV berkenaan dari 9 Julai hingga semalam (12 Julai) untuk melakukan kawalan kendiri selama 10 hari dan menjalani ujian saringan COVID-19 sekiranya bergejala. – Bernama

    Pengawal keselamatan melakukan rondaan di PPV IDCC Shah Alam yang ditutup bagi proses sanitasi selepas 204 orang petugas dikesan positif COVID-19. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda