Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    23 sekolah sertai ISB BGIC

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) akan menganjurkan Persidangan Isu-isu Global Borneo ISB (ISB BGIC) pada 10 hingga 13 Mac ini.

    Hampir 300 pelajar menengah di seluruh Borneo akan membincangkan dan membahaskan topik berdasarkan salah satu Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    ISB BGIC ialah persidangan tahunan gaya Model PBB yang diterajui pelajar di mana para peserta mewakili negara untuk menangani pelbagai pandangan tentang isu semasa, dunia sebenar.

    Inisiatif itu bertujuan untuk membangunkan pemahaman pelajar tentang kewarganegaraan global dan kemahiran kritikal dalam penyelidikan, pengucapan awam dan perundingan.

    Tema untuk ISB BGIC ke-19 adalah SDG PBB 8 – Pekerjaan Sesuai dan Pertumbuhan Ekonomi. Para peserta telah tekun menghadiri sesi latihan yang diketuai oleh pemimpin pelajar sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

    ISB BGIC diadakan untuk membangunkan pemahaman pelajar tentang kewarganegaraan global. – Gambar serahan ISB

    ISB BGIC ke-19 akan bermula dengan sidang akhbar pada 10 Mac, untuk memperkenalkan salah satu daripada dua penceramah utama yang akan berucap pada persidangan itu.

    Pada tahun ini, penceramah utama ialah Ketua Sekretariat Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC), Jabatan Perdana Menteri, Dr Hajah Siti Haziah binti Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; dan Timbalan Pengarah Urusan dan Pengarah Komersial Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) Sdn Bhd, Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah.

    Persidangan itu ditaja oleh BSP, Brunei LNG Sdn Bhd, Dynamik Technologies Sdn Bhd, Datastream Digital Sdn Bhd, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Brunei Fertilizer Industries Sdn Bhd, dan Butra HeidelbergCement Sdn Bhd, dengan sokongan daripada TLT Enterprise, Syarikat Interhouse, Air Cat Logistics Sdn Bhd, D’Sunlit Sdn Bhd, Brunei Press Sdn Bhd dan Aewon Garment & Embroidery.

    Sebanyak 23 buah sekolah kerajaan dan swasta di seluruh Borneo mengambil bahagian pada tahun ini.

    Antaranya ialah ISB, Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan; Sekolah Menengah Chung Ching, Kuala Belait; Sekolah Menengah Chung Hua, Kuala Belait; Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS); Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan; Pusat Tingkatan Enam Meragang; Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah; Sekolah Sukan; Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, Mumong; Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Sekolah Menengah Kebangsaan Pinggan – Pinggan Pitas, Sabah; Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Lok Yuk Kudat, Sabah; dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Marudu, Sabah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...