Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    247 menara SMART di Sarawak berfungsi

    KUCHING, 24 MEI – Sebanyak 247 menara Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART) berjaya diaktifkan dengan menggunakan teknologi Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) setakat 15 Mei lepas.

    Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata semua menara berkenaan melibatkan perkhidmatan daripada CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL.

    Beliau berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada 600 menara telekomunikasi yang dirancang untuk dibina di Sarawak menerusi beberapa fasa peruntukan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Kewangan (MOF) dan syarikat telekomunikasi.

    “Dengan termeterai perjanjian hari ini, lebih cepat menara-menara ini akan berfungsi dan kemudahan ini akan dapat dimanfaatkan oleh rakyat Sarawak,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian SMART600 Multi Operator Core Network hari ini.

    Turut hadir Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi.

    Fahmi Fadzil berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian SMART600 Multi-Operator Core Network (MOCN) kelmarin. – Bernama

    Sementara itu, Fahmi berkata susulan perkembangan positif program SMART600 di Sarawak, kesemua pengendali rangkaian mudah alih bersetuju melaksanakan program sama di seluruh Malaysia dengan perjanjian telah ditandatangani pada 9 Mei lepas.

    “Bagi kawasan lain dalam negara, kita mula dengan pembinaan lima menara dulu kerana ada aspek komersial perlu diteliti dan kita jangka dalam tempoh setahun tahun akan datang, ada 102 menara yang akan diutamakan dan selepas itu sejumlah lagi akan diusahakan telko-telko sendiri,” katanya.

    Sementara itu, MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan perjanjian itu menunjukkan kejayaan pertama di dunia melibatkan kerjasama enam pelbagai pengendali dalam menyediakan perkhidmatan telekomunikasi melibatkan CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL dan MySRBN.

    Menurut MCMC, projek itu dianggarkan memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 penempatan di kawasan pedalaman Sarawak dan melalui inisiatif ini, masyarakat akan menikmati liputan di mana sahaja tanpa mengira rangkaian syarikat mana yang mereka pilih. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...