Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Seramai 27 ahli Pengakap Kelana 1102 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) menyertai aktiviti rentas hutan di kawasan hutan Sungai Akar dekat Jalan Duta sejauh 7km, baru-baru ini.
Turut menyertai aktiviti itu ialah Jurulatih Pengakap Kelana UNISSA, Awang Zainudin bin Haji Ishak dengan dibantu lapan jurulatih berkemahiran dari Outward Bound Brunei Darussalam, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bagi mengawasi aktiviti tersebut.
Sebelum rentas hutan dimulakan, sesi senamrobik dan bacaan Doa Selamat telah dipimpin oleh jurulatih Haji Ramli bin Haji Kurus.
Sepanjang perjalanan rentas hutan itu, ahli-ahli Pengakap Kelana telah diperkenalkan dengan nama-nama tumbuhan dan bunga-bungaan serta kegunaannya dalam perubatan tradisional.
Selain itu, mereka juga melalui beberapa batang anak sungai kecil dan empat wasai (air terjun) iaitu Wasai Jempiras, Wasai Bertangga, Wasai Sarjan dan yang terakhir Wasai Lambada.
Di Wasai Lambada, rombongan berpeluang menikmati hidangan tengah hari selain diajar cara memasak ayam pansuh menggunakan buluh dan cara membuat perangkap binatang kecil. Ahli-ahli Pengakap Kelana UNISSA turut membuat kerja khidmat masyarakat dengan mengutip sampah bukan alami seperti botol dan tin minuman serta bekas makanan yang ditemukan sepanjang laluan.
