BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Tiga orang anggota bomba Cawangan Operasi F telah dinaikkan pangkat kepada Ahli Bomba Kelas Satu dan menerima tanda pangkat masing-masing pada majlis penyampaian tanda pangkat yang berlangsung di Balai Bomba Tumasek, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Cawangan Operasi F, Jabatan Bomba dan Penyelamat, di sini, hari ini, anggota bomba Cawangan Operasi F yang dinaikkan pangkat ialah AB 400 Didy Sumardi bin Haji Omar dari Balai Bomba Tumasek, AB 796 Muhammad Aiman bin Haji Amir dari Balai Bomba Tumasek dan AB 820 Haji Mohd Mailin bin Haji Awang Julai dari Balai Bomba Jerudong.
Penyampaian tanda kepada para anggota bomba yang dinaikkan pangkat pada majlis yang diadakan pada 28 September lalu itu disempurnakan oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi F, Pemangku Penguasa Kanan Haji Nordin bin Haji Buntan.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi F, Penolong Penguasa Awang Suhaimi bin Haji Muhammad dan stesen komander Balai Bomba Pengkalan Batu, Jerudong serta beberapa orang anggota Balai Bomba Tumasek.
Pada majlis berkenaan, Pegawai Turus dan juga Stesen Komander Balai Bomba Tumasek, Pegawai Balai Pengiran Haji Ali Abdul Rahman bin Pengiran Haji Halus mengalu-alukan Pemangku Penguasa Kanan Haji Nordin untuk menyampaikan tanda pangkat kepada para anggota yang diraikan. Sejurus selesai penyampaian tanda pangkat Doa Kesyukuran dibacakan oleh Stesen Komander Balai Bomba Jerudong, Penolong Penguasa Haji Hassan bin Haji Jamuddin.
Kenyataan itu menyatakan lagi bahawa Jabatan Bomba dan Penyelamat khasnya pegawai pemerintah Cawangan Operasi F mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua anggota Cawangan Operasi F yang telah dinaikkan pangkat dan mengharapkan supaya anggota berkenaan berusaha lebih gigih dan meningkatkan lagi prestasi kerja ke tahap yang lebih cemerlang.

