Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Pertubuhan WeCare mengambil kesempatan bulan Syawal ini untuk mengeratkan silaturahim dengan mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama ahli-ahli jawatankuasa dan sukarelawan yang berlangsung di Restoran Kitchen of Jasmine, Jerudong, kelmarin.
Majlis yang dihadiri oleh seramai 30 orang itu telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Presiden WeCare, Dayang Siti Nurazimah binti Haji Hashim yang menekankan mengenai bagaimana aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh WeCare telah pun dikenali dan diiktiraf di dalam dan di luar negara, dan bagaimana WeCare juga menantikan penyertaan ahli-ahli jawatankuasa baharu sebagai pelapis untuk meneruskan misi-misi kemanusiaan.
Kemudian, majlis diikuti dengan tayangan video yang memaparkan projek-projek WeCare dari 2021 hingga tahun ini.
Turut diadakan ialah penyampaian sijil penghargaan kepada ahli-ahli jawatankuasa dan sukarelawan WeCare bagi 2021 hingga 2023, diikuti dengan menjamu juadah dan diakhiri dengan bergambar ramai.
