Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    30 pemimpin belia sertai program pertukaran pemimpin

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Seramai 30 orang pemimpin belia dari Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura mengikuti Program Pertukaran Pemimpin Belia Republik Singapura-Negara Brunei Darussalam (SBYLEP) ke-8 yang sedang berlangsung empat hari di negara ini.

    Program yang akan berakhir pada 22 November itu dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Brunei dengan kerjasama Majlis Belia Kebangsaan (NYC) di bawah Kementerian Kebudayaan, Komuniti dan Belia, Republik Singapura bagi memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara sekali gus mempromosikan persefahaman dan solidariti dalam kalangan pemimpin belia.

    Program turut dilaksanakan bersama Majlis Belia Brunei (MBB) selaku rakan strategik itu merupakan program strategik bagi kedua-dua buah negara di samping menggalakkan pertukaran pemimpin belia masa depan.

    Para peserta yang berumur antara 22 hingga 35 tahun berkenaan mempunyai latar belakang daripada kalangan profesional dalam bidang pendidikan, kepimpinan, keusahawanan, pembangunan masyarakat dan belia, sains dan kesihatan, kesukarelawanan dan yang berkaitan dengan hal ehwal kebeliaan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KKBS, SBYLEP diadakan secara bergilir dan ia berdasarkan hubungan dua hala yang kuat antara kedua-dua negara.

    Objektif program adalah untuk meningkatkan persefahaman dan penghargaan terhadap dasar, sistem, hubungan dua hala dan isu-isu serantau. Selain itu, ia juga untuk mempromosikan dialog substantif dalam kalangan peserta dengan pemikiran pemimpin daripada pelbagai sektor.

    Menerusi program berkenaan, beberapa lawatan ke tempat-tempat menarik di Negara Brunei Darussalam juga disusun seperti ke I AM FOOD, Kampung Tungku Gadong; Majlis Perundingan Kampung Batu Apoi, Temburong; Sumbiling Eco Resort.

    Ia juga diisikan dengan lawatan ke sekitar Kampong Ayer dan hutan bakau untuk melihat dengan lebih dekat akan warisan dan cara hidup masyarakat orang Brunei.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...