Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Pekerja berinovasi asas menuju kecemerlangan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh James Kon

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof telah menghadiri Majlis Penghargaan dan Penyampaian Anugerah-anugerah Sempena Hari Perkhidmatan Awam ke-29, di Dewan Bankuet, JPM, kelmarin.

    Turut hadir di majlis berkenaan ialah timbalan-timbalan menteri di JPM, setiausaha-setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan kerajaan.

    Yang Berhormat Pehin telah menyempurnakan penyampaian Anugerah Inovasi Perdana (AIP), Program Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) melalui Penarafan Bintang, Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA) dan Anugerah Kakitangan Berjasa dan Berbakti Perkhidmatan Awam (AKB²PA).

    Penyertaan AIP menumpukan kepada kertas projek yang dibukakan kepada agensi kerajaan secara berkumpulan atau perseorangan yang mengetengahkan beberapa bidang tertentu seperti meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam melalui aplikasi teknologi infokomunikasi dan kaedah-kaedah tertentu, inovasi dalam perkhidmatan awam, meningkatkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti. Ia juga mengetengahkan tindak balas dalam perkhidmatan awam serta penambahbaikan kualiti proses dalam perkhidmatan awam yang menyumbang kepada mempercepatkan urusan-urusan yang berkaitan dengan ease of doing business (eodb).

    Oleh yang demikian, Penganugerahan AIP bagi Kertas Projek Tahun 2022, Panel Penilaian dan Pemilihan AIP memutuskan, bahawa belum ada yang layak untuk menerima Anugerah Emas.

    Sementara itu, pemenang Anugerah Perak diberikan kepada Kumpulan FIT FOR PURPOSE dengan Kertas Projek, bertajuk ‘Penyelidikan Pengukuran Metodologi Fit for Purpose bagi Negara Brunei Darussalam’ dari Jabatan Ukur Cawangan Daerah Tutong, Kementerian Pembangunan, yang menerima geran pembelajaran atau projek, sebuah piala dan sijil penghargaan.

    Manakala pemenang Anugerah Gangsa ialah Kumpulan Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan dan Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan dengan kertas projek bertajuk ‘Pelaksanaan Penilaian Student Assessment Tracker (S.A.T) Berkomputer’. Mereka juga menerima geran pembelajaran atau projek, sebuah piala dan sijil penghargaan.

    Seterusnya, empat buah agensi kerajaan telah memperoleh tahap pencapaian 3 bintang ke atas melalui Penilaian 3PSA yang telah dilaksanakan pada Tahun Kewangan 2019/2020, 2020/2021 dan 2021/2022.

    3PSA merupakan inisiatif berterusan JPM, khususnya Jabatan Perkhidmatan Pengurusan (MSD) bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Perkhidmatan Awam ke-21, pada 2014.

    Melalui 3PSA juga, diharap akan dapat membantu agensi-agensi kerajaan menuju ke arah kecemerlangan Perkhidmatan Awam.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi (kiri) bergambar bersama pemenang Anugerah Perak, Kumpulan Fit for Purpose semasa majlis berkenaan.
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi (tengah) bergambar ramai semasa majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...