Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 April – Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Masin dan penduduk Kampung Masin telah berjaya menamatkan Kursus Penyempurnaan Jenazah dan menerima sijil masing-masing, hari ini.
Penyampaian sijil pada majlis yang diadakan di Masjid Kampung Masin itu telah disempurnakan oleh Ketua Zon Brunei 1B, Pejabat Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Hamrin bin Haji Mangshor.
Kursus sehari anjuran Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Masin itu bertujuan untuk memberikan pendedahan mengenai penyempurnaan jenazah agar para belia mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang cara-cara dan permasalahan yang berhubung dengan penyempurnaan jenazah sekali gus menjadikan mereka berkemahiran dalam pengurusan penyempurnaan jenazah apabila berlaku kematian dalam situasi sebenar.
Pada kursus itu, para peserta yang telah dibimbing oleh Haji Mohammad Burhanuddin bin Haji Damit didedahkan dengan cara bagaimana memandikan, mengapankan, menyembahyangkan, mengebumikan dan seterusnya praktikal menguruskan jenazah.

Selain itu, kursus itu juga adalah untuk menambah keyakinan serta pengetahuan para peserta khasnya dalam menyempurnakan jenazah dan hukum-hukum yang berhubung dengannya. Selain itu, ia juga dapat mengeratkan silaturahim kalangan peserta dan tenaga pengajar sekali gus memakmurkan masjid dengan kegiatan yang berkebajikan dan bermanfaat.
Pihak penganjur berharap dengan kursus yang diberikan itu, para peserta akan dapat ikut serta dan tampil ke depan dalam pengurusan jenazah nanti apabila berlakunya sesuatu kematian.